MV Agusta Lancarkan Motosikal Replika MV Agusta F4 RC WorldSBK 2018

 

  • MV Agusta baru sahaja memperkenalkan motosikal replika terbaru mereka, motosikal replika MV Agusta F4 RC WorldSBK 2018 sejurus selepas pengumuman mengenai motosikal F4 LH44.
  • Motosikal F4 RC yang baru ini didatangkan kit perlumbaan yang menarik, antaranya adalah ekzos sistem sepenuhnya SC Project, ECU perlumbaan, penutup tangki bahanapi lepasan-pantas, bahagian karbon fiber, dan banyak lagi.
  • Sebaik sahaja dilengkapkan dengan kit perlumbaan, motosikal replika F4 RC WorldSBK ini dikatakan dapat menghasilkan 212hp dan 115Nm tork dan
    mencecah kelajuan maksimum sehingga 302km/j tanpa sebarang masalah.


Sejurus selepas pengumuman pembaharuan kerjasama mereka bersama dengan Lewis Hamilton dan pelancaran rasmi motosikal MV Agusta F4 LH44, pengeluar motosikal premium itu telah menghadiahkan kita dengan satu lagi keluaran mereka yang istimewa dalam bentuk motosikal replika MV Agusta F4 RC WorldSBK.

Motosikal F4 RC ini telah dipertingkatkan lagi secara kosmetik bagi menjadikannya mirip seperti jentera perlumbaan MV Agusta 1000 F4 yang dikemudi oleh Leon Camier dari pasukan MV Agusta Reparto Corse. Bagi menjadikan edisi ini lebih istimewa lagi, kemasan grafiknya telah dihiasi dengan nombor 37 untuk menandakan jumlah kejuaraan pengeluar yang telah dimenangi oleh MV Agusta.

Dijana oleh enjin ’16 radial valve’, DOHC, empat silinder, 998cc, motosikal F4 RC yang baru ini dikatakan mampu menghasilkan 205hp pada 13,450rpm dan 115Nm tork pada tahap 9,300rpm. Setelah dilengkapkan dengan kit perlumbaan MV Agusta, hasil keluaran kuasanya dipertingkatkan kepada 212hp di mana segala-galanya dari tindak balas pendikit hinggalah ke had rev enjin dapat diubahsuai mengikut gaya penunggangan penunggangnya.


Bercakap mengenai kit perlumbaannya yang teramat istimewa itu, MV Agusta menawarkannya dalam sebuah kotak kayu yang amat istimewa dipenuhi dengan segala peralatan yang akan menjadi motosikal replika WorldSBK itu lebih mengagumkan. Peralatan tambahan ini termasuklah ekzos sistem sepenuhnya SC Project, ECU perlumbaan, penutup tangki bahanapi kegunaan perlumbaan,penghadang haba karbon fiber, dan sudah semestinya, penutup pelana tunggal yang istimewa.

Bagi memastikan yang penunggangnya dapat mengelilingi litar sepantas yang mungkin, motosikal ini juga telah dilengkapkan dengan MV EAS (Electronically-Assisted Shift) versi 2.0 untuk penukaran gear pantas tanpa penggunaan klac, sama ada untuk gear yang lebih tinggi mahu pun untuk ke gear yang lebih rendah. Dengan kelajuan tertingginya dikatakan mencecah 302km/j, motosikal F4 RC ini memerlukan suspensi yang hebat dan daya henti mengagumkan bagi mengekalkan kawalan muktamad.

Oleh kerana itulah mereka menggunakan fork hadapan USD 43mm boleh laras sepenuhnya Ohlins dan penyerap hentakan belakang tiub berkembar progresif Ohlins TTX36 dengan takungan menggendong di bahagian belakangnya. Untuk daya hentinya pula, dua cakera brek terapung 320mm dengan angkup empat omboh jenis berjejari Brembo GP dilengkapkan pada bahagian hadapannya manakala satu cakera brek 210mm yang digandingkan dengan angkup empat omboh Nissin pula digunakan untuk bahagian belakangnya.

Sebagai bonus tambahan, motosikal ini didatangkan dengan ABS System Bosch 9 Plus dengan Mod Perlumbaan dan RLM (Rear Wheel Lift-up Mitigation) sebagai kelengkapan standard. TERBAIK.

Tiada lagi sebarang berita mengenai harganya buat masa ini namun dengan motosikal F4 edisi Lewis Hamilton yang dinilai pada harga RM300,00, tiada sebarang anggaran yang dapat kami lakukan mengenai nilai jentera buas yang menawan ini. Apa yang pasti, ianya amat menakjubkan.

Sumber imej: Moto Revue

Untuk mengetahui spesifikasi lengkap motosikal replika MV Agusta F4 RC WorldSBK 2018 ini, TEKAN SINI.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai motosikal MV Agusta F4 LH44, sebuah motosikal yang lahir dari kerjasama antara pengeluar berkenaan bersama dengan juara Formula 1, Lewis Hamilton, TEKAN SINI.

 

Leave a Reply