MotoGP: HRC Beralih Ke Ekzos Akrapovic Bagi Musim 2023

Honda Racing Corporation (HRC) telah memeterai kerjasama baharu dengan pengeluar ekzos terkemuka, Akrapovic.

Menurut HRC, Akrapovic dengan rasminya dilantik sebagai pembekal ekzos utama bagi pasukan Repsol Honda Team bermula musim 2023.

Pengumuman baharu itu sekaligus mengesahkan penamatan kerjasama antara HRC dan SC Project sebelum ini. 

HRC dalam kenyataan turut menjelaskan bahawa Honda dan Akrapovic akan sama-sama dalam pembangunan ekzos bagi RC213V.

“Kami berbesar hati mengumumkan Akrapovic sebagai rakan kongsi terbaru bagi musim 2023 dan seterusnya. 

“Menerusi kerjasama ini kami akan bersama dalam membangunkan sistem ekzos terbaik bagi (jentera) Honda RC213V. Kami yakin usahasama ini akan menghasilkan kejayaan,” jelas Pengarah HRC, Tetsuhiro Kuwata. 

Kedua-dua pihak akan turut berkongsi teknologi dan kejuruteraan dalam mencari resepi terbaik untuk meraih kemenangan di MotoGP. 

Bagi musim 2023, jentera Honda RC213V akan dilengkapi sistem ekzos titanium keluaran Akrapovic. 

Untuk rekod, jenama ekzos dari Slovenia itu telah menghasilkan ekzos sejak era 90an dan mempunyai rekod cemerlang di MotoGP, WorldSBK, MXGP dan EWC. 

Dalam pada itu, Repsol Honda dijadualkan akan memperkenalkan pasukan musim 2023 secara rasmi pada 23 Februari ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]