Op Lejang Kesan Motosikal Tanpa Brek Belakang, Tayar Sotong

Sebanyak 675 buah motosikal diperiksa dengan 235 daripadanya telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dalam Op Lejang terbaharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di dua lokasi berbeza di Seberang Perai.

Selain berhampiran Plaza Tol Juru, operasi yang sama turut dijalankan berhampiran tol Jambatan Pulau Pinang.

Berbanding operasi terdahulu, Op Lejang kali ini diadakan secara bersepadu dan melibatkan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan lain-lain.

“Antara kesalahan yang dikesan kali ini termasuk melibatkan pemandu di bawah umur, tidak memiliki lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh serta tiada perlindungan insuran.

“Turut dikesan adalah kesalahan mengubah suai motosikal seperti menanggalkan brek belakang, mengubahsuai ‘swing arm’ dan ekzos, menggunakan saiz tayar motosikal yang terlalu kecil (tayar sotong), tiada cermin sisi serta mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ (tidak mengikut spesifikasi) dan ekstrem,” kata pihak JPJ dalam satu kenyataan.

Hadir memantau operasi itu ialah Timbalan Pengarah JPJ Pulau Pinang, Shahrul Azhar Mat Dali serta Ketua Seksyen Operasi JPJ negeri, Mohd Nasron Aliyasak.

Dalam pada itu, JPJ Pulau Pinang mengingatkan pemilik serta penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuat kuasakan selain tidak melibatkan diri dalam aktiviti perlumbaan haram hingga boleh membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Minggu lalu, sebanyak 722 buah motosikal diperiksa dengan 286 daripadanya telah dikenakan tindakan JPJ dalam operasi Ops Lejang.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply