Qianjiang Mula Bangunkan MV Agusta Lucky Explorer 5.5 Di China

MV Agusta mendedahkan dua model ‘adventure’ serba baharu sewaktu di pameran motosikal EICMA pada November tahun lalu.

Lucky Explorer 9.5 dan Lucky Explorer 5.5 merupakan model yang akan diperkenalkan jenama Itali itu bagi tahun 2023.

Bagaimanapun, 5.5 paling mencuri tumpuan kerana motosikal bersesaran 500cc itu dibangunkan hasil kerjasama dengan gergasi motosikal China, Zhejiang Qianjiang Motorcycle Co. Ltd.

Qianjiang juga merupakan pemilik kepada jenama Benelli yang dipasarkan di pasaran global termasuk Malaysia.

Dalam perkembangan terbaru, MV Agusta Lucky Explorer 5.5 kini sah masuk peringkat pembangunan setelah Qianjiang memfailkan paten motosikal tersebut di China.

Qianjiang dipertanggungjawabkan untuk memasang motosikal dengan lencana MV Agusta itu yang akan berkongsi enjin sama dengan Benelli TRK 502.

Walaupun baru memasuki peringkat pembangunan namun menurut CEO MV Agusta sebelum ini, syarikat Itali itu telah pun menerima lebih 15,000 tempahan bagi model 9.5 dan 5.5.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]