Harley-Davidson Hidupkan Semula Projek Bronx

Baru-baru ini Harley-Davidson memperkenalkan model Nighster yang dikuasakan enjin Revolution Max 975T serba baharu.

Menariknya, enjin 975cc dengan penyejukan cecair itu sepatutnya diperkenalkan lebih awal menerusi model Bronx.

Harley-Davidson memperkenalkan motosikal konsep ‘Bronx’ pada 2018 dan merupakan sebuah model ‘streetfighter’ yang didedahkan bersama-sama Pan America dan Sportster S pada waktu itu.

Pan America

Ketika projek Pan America dan Sportster S diteruskan dan telah pun dilancarkan, Harley-Davidson membuat keputusan untuk menghentikan projek Bronx ekoran strategi ‘Hardwire’ yang bertujuan mengolah semula arah tuju syarikat.

Bagaimanapun, laporan terkini mengesahkan projek motosikal ‘streetfighter’ itu akan kembali dihidupkan setelah Harley-Davidson memfailkan semula tanda nama Bronx di Amerika Syarikat.

Bronx

Berbeza dengan permohonan pada 2017 yang sekadar untuk mendapatkan hak kepada nama ‘Bronx’, permohonan tanda nama kali ini pula meliputi segala aspek termasuk ‘dengan niat untuk digunakan’ .

Jika diimbas kembali, Harley-Davidson tidak pernah (secara rasmi) memaklumkan bahawa projek Bronx diberhentikan.

Sebaliknya, permohonan tanda nama Bronx buat kali kedua mengesahkan projek itu hanyalah ditangguh buat sementara waktu dan bukannya dihentikan.

Namun, buat masa ini tidak dapat dipastikan sama ada rekaan Bronx akan mengikut rupa prototaip yang didedahkan lima tahun lalu.

Apa yang pasti, Harley-Davidson Bronx akan digerakan enjin Revolution Max 975T yang sama terdapat pada Nightster.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]