MotoGP: Terkilan, Pengurus Joan Mir Mula Bincang Dengan Pasukan Lain

Meskipun MotoGP baru memasuki pusingan keenam namun kejuaraan dunia motosikal itu telah pun terpalit dengan berita menggemparkan apabila Suzuki dikatakan bakal meninggalkan perlumbaan itu hujung musim ini.

Beberapa laporan media antarabangsa melaporkan Suzuki telah pun memaklumkan ahli pasukan mengenai perkara itu sewaktu sesi ujian di Jerez, Isnin lalu.

Walaupun senario itu belum disahkan namun keengganan Suzuki untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan isu tersebut memberi bayangan bahawa dakwaan itu adalah benar.

Pihak Dorna dalam satu kenyataan juga mengingatkan Suzuki bahawa pasukan itu telah menandatangani kontrak sehingga 2026 sekaligus sebarang keputusan perlulah dibincangkan bersama.

Dalam perkembangan terbaru, pengurus pelumba Joan Mir, Paco Sanchez memberitahu media bahawa dia dan Mir langsung tidak tahu mengenia perancangan Suzuki itu.

Menurut Sanchez, Mir juga hampir menandatangani kontrak baharu untuk kekal di pasukan itu melebihi 2023 sebelum berita tergempar itu dilaporkan.

Bagaimanapun, keputusan Suzuki untuk berdiam diri telah memaksa Sanchez untuk mengadakan perbincangan dengan kesemua pasukan di MotoGP dalam usaha mencari pasukan baharu.

“Saya harap saya dapat cari jentera yang bagus untuk Joan (Mir).

“Kami juga risau akan keseluruhan kakitangan pasukan. Mereka individu yang profesional.

“Jika Suzuki sah tinggalkan MotoGP, saya harap mereka dapat mencari pekerjaan. Ramai ahli keluarga akan berdepan mimpi negeri,” jelasnya.

Selain Mir, status Alex Rins juga tergantung apatah lagi kontraknya akan tamat hujung musim ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]