Suzuki Tinggalkan MotoGP, RNF Racing Jadi Pasukan Satelit Aprilia?

Terdapat dua berita mengejutkan hadir dari kem MotoGP baru-baru ini bermula dengan Suzuki yang dikatakan akan meninggalkan Kejuaraan Dunia MotoGP pada penghujung musim 2022 ini.

Sementara itu, pasukan kendalian Razlan Razali, RNF Racing – yang dijenamakan semula daripada Petronas Sepang Racing Team (PSRT) – dikatakan akan menjadi pasukan satelit bagi Aprilia, meninggalkan Yamaha.

Suzuki Tinggalkan MotoGP

Berbalik kepada Suzuki, pelbagai media antarabangsa telah mendakwa bahawa Suzuki akan meninggalkan MotoGP pada penghujung musim 2022.

Perkara itu tercetus setelah ahli pasukan Suzuki telah diberitahu berita mengejutkan itu sewaktu ujian pasca perlumbaan di Jerez, Isnin lalu.

Berita itu ternyata mengejutkan apatah lagi Suzuki telah pun menandatangani kontrak untuk kekal di MotoGP sehingga 2026.

Sekiranya benar – masih menanti jawapan rasmi dari Suzuki – ini merupakan kali kedua pasukan dari Hamamatsu, Jepun itu undur diri setelah melakukannya pada 2012-2014 atas faktor kewangan.

Pada masa sama, ini juga bermakna, pelumba sedia ada, Alex Rins dan Joan Mir akan ketiadaan pasukan memasuki musim 2023.

Bagaimanapun, ketikat ini Mir dikaitkan dengan perpindahan ke Repsol Honda bagi digandingkan dengan Marc Marquez dengan kontrak Pol Espargaro dijangka tidak akan disambung hujung musim ini.

RNF Racing Jadi Pasukan Satelit Aprilia

Aprilia dijangka akan memiliki pasukan satelit seawal musim 2023 apabila didakwa akan berkerjasama dengan RNF Racing MotoGP.

Kontrak RNF Racing bersama Yamaha dikatakan tidak akan disambung sebaik kerjasama kedua belah pihak tamat pada penghujung musim ini.

Menurut laporan media Sepanyol (MARCA), perbincangan antara RNF Racing dan Aprilia telah pun berjalan dengan kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bersama.

Sekiranya benar, maka Razlan Razali bakal menempah cabaran baharu bersama Aprilia setelah beberapa tahun berkerjasama dengan Yamaha.

Bagaimanapun, setakat ini, masih tiada kenyataan rasmi dikeluarkan daripada pihak Razlan Razali.

Apa yang pasti perkembangan kedua-dua pasukan ini pastinya akan membawa perubahan besar terhadap saingan MotoGP musim depan apatah lagi Dorna dalam satu kenyataan mendakwa terdapat banyak pihak yang berminat untuk mendapat slot di MotoGP musim depan.

Apa pun, kita nantikan kemas kini terbaru daripada kedua-dua pihak.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]