Tanah Tergadai, Duit Tak Dapat Antara Keluhan ‘Pemilik Asal’ Litar Mandalika

Advertisements

Baru-baru ini, MotoGP mengadakan ujian pra-musim kedua di Litar Mandalika, Indonesia.

Litar Mandalika merupakan litar terbaru yang dibangunkan negara itu dan bakal sertai kalendar MotoGP bagi musim 2022.

Meskipun MotoGP sendiri menyifatkan Litar Mandalika antara yang tercantik pernah dibina namun terdapat beberapa ‘cerita’  di luar pagar litar itu yang mencuri tumpuan.

Salah seorang jurugambar profesional MotoGP, telah memuat naik gambar ke akaun Instagram rasmi pasukan Repsol Honda.

Gambar tersebut memaparkan pelumba Honda, Marc Marquez sedang melakukan ujian namun apa yang menarik, gambar tersebut turut memaparkan tiga lelaki berkain pelikat yang menyaksikan dengan rapat sesi ujian tersebut.

Tiga individu tersebut dikenali sebagai Sibawaeh, 53, Medan, 47 dan Amaq Manim, 57.

Difahamkan, kelibat mereka disitu bukan sebagai peminat MotoGP malah merupana pemilik sebahagian tanah yang telah diambil bagi tujuan pembinaan Litar Mandalika.

Berdasarkan laporan, meskipun Litar Mandalika telah siap sepenuhnya namun urusan penjualan dan pembayaran tanah tersebut masih belum diselesaikan Perbadanan Pembangunan Pelancongan Indonesia (ITDC).

Sibawaeh mendedahkan masih tiada sebarang bayaran dilunaskan meskipun tanah seluas 3.5 hektar miliknya telah diambil.

“Bunyi deruan motor ini buat hati saya sakit. Sedih mengenangkan nasib kami, tanah tergadai, duit tak dapat.

“Kami tidak sedar gambar kami dirakam ketika menyaksikan sesi ujian itu dan dalam hati kami terdetik bilakah masalah (jual tanah) ini akan selesai,” jelasnya.

Sebelum ini, pembangunan Litar Mandalika turut dikecam Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disifatkan telah mencabul hak asasi orang asli di Kepulauan Lombok. – Utusan Online

Advertisements