RASMI: Adam Norrodin Gandingan Baharu Azlan Shah Di TKKR Racing Team

Advertisements

Bekas pelumba Moto2, Moto3 dan Kejuaraan Eropah CEV negara, Adam Norrodin, akan beraksi di Asia Road Racing Championship (ARRC) 2022 bersama-sama TKKR Racing Team.

Adam akan mewakili pasukan OneXOX BMW TKKR Racing Team dalam kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) bersama-sama rakan sepasukan dan juara bertahan, Azlan Shah Kamaruzaman.

Pengumuman tersebut dibuat Prinsipal Pasukan TKKR Racing Team, Bobie Farid  Shamsuddin dalam satu kenyataan ,hari ini.

“Adam yang berpengalaman disaingan kejuaraan Dunia Moto 2 dan Moto 3 serta kejuaraan Eropah (CEV) telah menarik minat kami untuk membawa cabaran yang cukup mencabar bagi tahun ini. Selepas 2 tahun perlumbaan ARRC tidak dapat diteruskan akibat pandemik Covid 19.

“Kami telah membuat persiapan rapi serta penilaian yang teliti bagi mempertahankan kejuaraan keseluruhan untuk tahun ini. Dengan kemasukkan Adam, ia akan menguatkan lagi pasukan kami dalam saingan yang sudah semestinya sengit dan seterusnya mengibarkan bendera Malaysia dipentas podium antarabangsa.

Sementara itu, Adam turut menyuarakan keyakinan dalam menghadapi saingan baharu di ASB1000 bersama TKKR Racing Team.

“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang menyertai pasukan OneXOX BMW TKKR ini.

“Saya tahu bahawa mereka mempunyai gabungan yang kuat dan berpasangan pula dengan abang Azlan, tiada kata-kata yang boleh mengambarkan keseronokkan saya.

“Saya akan cuba yang terbaik supaya menjadi aset kepada pasukan ini. Saya telah berlatih bersungguh-sungguh dan saya berharap segala usaha saya akan menghasilkan keputusan yang baik untuk pasukan.

“Saya amat berbesarhati kepada Encik Bobie kerana memberikan kepercayaan ini kepada saya” katanya.

Sementara itu, Azlan juga menyifatkan penyertaan Adam bukan sahaja satu perkembangan baik untuk pasukan malah akan membantunya dalam perebutan kejuaraan kali ini.

“Saya kerap berlatih dan juga saya sering menyertai perlumbaan supermoto untuk mempertajam refleks saya.

“Saya fikir Adam akan menjadi asset hebat kepada pasukan dan saya berharap dia boleh menjadi pemain sayap yang baik untuk saya (sambil bergurau).

“Saya akan cuba membimbingnya sebaik mungkin dan saya berharap dengan bekerjasama, kami dapat memberikan kejuaraan kepada pasukan sekali lagi tahun ini,”  jelas Azlan Shah.

Adam dan Azlan Shah akan bersaing di ASB1000 menggunakan jentera BMW S 1000 RR 2022.

Advertisements