RASMI: ARAMCO Racing Team VR46 Ikat Kontrak 3 Tahun Bersama Ducati

Selepas berminggu spekulasi berjalan, akhirnya ARAMCO Racing VR46 sah menandatangani perjanjian bersama Ducati bagi menghadapi saingan MotoGP 2022.

Perjanjian tiga tahun itu menyaksikan pasukan VR46 milik Valentino Rossi bakal bersaing di musim pertama kelas premier bersama jentera Ducati.

Pengumuman baharu itu turut menyaksikan Pablo Nieto, Pengurus Pasukan SKY Racing Team VR46 di Moto2 dan Moto3 akan diangkat selaku pengurus pasukan di MotoGP.

Sementara itu, perjanjian tersebut turut mengesahkan jalinan kerjasama antara VR46 dan Tanal Entertainment Sport & Media serta Saudi Aramco.

VR46 turut mengikat kontrak lima tahun bersam Dorna Sports untuk beraksi di kelas premier.

Kerjasama antara VR46 dan Ducati turut disambut baik Pengarah Urusan Ducati Corse, Luigi Dall’Igna.

“Kami dengan berbesar hati mengumumkan perjanjian bersama ini untuk tiga tahun akan datang.

“Akademi VR46 sentiasa serius dalam memberi peluang kepada ramai pelumba untuk mengutip pengalaman di Moto2 dan Moto3.

“Hari ini, mereka boleh berasa bangga kerana bakal membawa tiga pelumba beraksi di MotoGP. Kami juga mahu menawarkan sokongan teknikal sebaik mungkin bagi pasukan baru ini dan sekaligus mencapai keputusan terbaik bersama,” jelasnya.

Ketika ini, hanya Luca Marini disahkan sebagai salah seorang pelumba bagi ARAMCO Racing Team VR46 musim depan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]