UK Peruntukan RM13.4 Bilion Baik Pulih Jalan Berlubang, Malaysia Bila Lagi?

Kerajaan United Kingdom bercadang untuk mempertuntukkan lebih GBP2.5 bilion (RM13.4 bilion) dalam usaha baik pulih jalan berlubang di negara itu dalam tempoh lima tahun.

Menurut laporan Visordown, Chancellor, Rishi Sunak berkata GBP500 juta akan disalurkan setiap tahun (untuk tempoh lima tahun) kepada pihak berkuasa tempatan untuk baik pulih jalan raya sekaligus memastikan tiada lagi jalan berlubang berlaku.

Menurut Sunak, negara itu tidak dapat berkembang dengan maju sekiranya perbelanjaan negara sebelum ini hanya terarah kepada menampal lubang semata-mata.

“Penting untuk kami memastikan jalan raya berada dalam keadaan baik,” jelasnya.

Dana tersebut diwujudkan selepas pihak kerajaan menerima desakan daripada pihak berkuasa tempatan yang kini tidak henti-henti menerima aduan baik pulih selain daripada tuntutan insurans daripada pihak yang terkesan dengan jalan raya berlubang.

Pada 2018 sahaja, lebih GBP1.9 juta telah dibelanjakan bagi membayar tuntutan insurans susulan kerosakan kenderaan berpunca daripada jalan raya berlubang.

Masalah jalan rosak dan berlubang merupakan antara isu besar terutamanya bagi negara membangun seperti Malaysia.

Malangnya, pendekatan jangka masa pendek – dengan hanya menurap jalan berlubang – bukan penyelesaian terbaik malah hanya akan menyebabkan jalan tersebut lebih membahayakan.

Baru-baru ini, seorang penunggang motosikal mengalami kemalangan susulan melanggar laluan yang tidak diturap dengan baik di Persiaran Raja Musa, Seksyen 16 menghala ke Seksyen 18, Shah Alam.

Difahamkan, sejak 2016 hingga Julai 2018, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menerima 15,594 aduan dengan lebih 50 peratus melibatkan isu penyelenggaraan jalan raya.

Ketika Belanjawan 2019, hanya RM100 juta diperuntukkan untuk kerja penyelenggaraan seluruh negara sedangkan kos penyelenggaraan secara menyeluruh memerlukan lebih RM2 bilion.

Pada tahun 2018, kajian yang dijalankan JKR mendapati 35 peratus jalan persekutuan terutamanya di Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) berada dalam kategori ‘buruk dan teruk’.

Menurut info dikongsikan Harian Metro, jalan persekutuan merupakan jalan raya yang paling kerap rosak dengan kerosakkan serius sering melibatkan Telupid-Sandakan di Sabah dan jalan menuju Pelabuhan Klang di Selangor.

Diharapkan dengan tugas digalas kerajaan baharu ketika ini, tumpuan akan diberikan terhadap membaik pulih keadaan jalan raya di Malaysia.

Jangan lupa ikuti kami di YouTube dan Instagram!

VIDEO HARI INI

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply