Konon Nak Uji Motor, Rupanya Terus Bawa Lari

Hajat seorang lelaki untuk menjual motosikal kesayangan demi kelangsungan hidup tidak kesampaian apabila sesi ‘mencuba’ jentera tersebut bertukar kepada kes curi.

Mangsa, Muhammad Zuhaili Ahmad Zarudin telah mengiklankan niatnya untuk menjual motosikal jenis Yamaha 125ZR tersebut menerusi laman sosial Facebook.

Menurut laporan Harian Metro, mangsa dihubungi seorang lelaki yang bersetuju untuk membeli motosikal tersebut dan mahu berjumpa di Plaza Tol Sungai Buloh malam tadi.

Lelaki itu kemudiannya tiba dengan memandu kereta jenis Perodua Myvi seorang diri. Selepas perbincangan lelaki terbabit meminta untuk menguji motosikal sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Bagi menyuntik kepercayaan terhadap mangsa, lelaki itu kemudiannya menyerahkan kunci kereta Myvi – yang ketika ini disyaki bukan milik lelaki berkenaan .

Pada awalnya, lelaki tersebut sekadar melakukan beberapa pusingan di kawasan berdekatan tol terbabit sebelum memecut meninggalkan mangsa.

“Selepas 30 minit menunggu, saya menghubunginya, namun panggilan tidak diangkat sebelum telefon bimbitnya dimatikan,” jelas Zuhaili.

Mangsa sempat mengambil gambar pembeli terbabit dan menggesa orang ramai untuk membantu mengesan lelaki itu.

(SUMBER: Harian Metro)

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply