BMW Malaysia Perkenal Program Subsidi Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak

Menyedari kepentingan menjaga keselamatan anak kecil ketika di dalam kereta, BMW Malaysia bersama-sama Safe ‘n Sound dan Childline Foundation memperkenalkan program subsidi kerusi kanak-kanak.

Menerusi program BMW Safety 360 edisi kelima, BMW Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan Childline Foundation bagi melancarkan kempen ‘Dari Hari Pertama’ yang mensasarkan terhadap kepentingan kerusi kanak-kanak.

Mendapat sokongan Chicco Malaysia, kempen ini dimulakan dengan pemberian kerusi kereta kanak-kanak Chicco KeyFit 30 kepada enam bayi pertama yang dilahirkan pada Hari Bapa di Hospital Putrajaya.

Selain itu, ibu bapa turut diberi pendedahan terhadap penjagaan keselamatan kanak-kanak daripada Childline Foundation yang meliputi pemilihan kerusi kanak-kanak serta kaedah pemasangan yang betul.

Sementara itu, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoezl percaya usaha berterusan ini adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk mewajibkan penggunaan kerusi kanak-kanak dalam masa terdekat ini.

“Peraturan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak yang diwajibkan bakal berkuat kuasa tidak lama lagi sebaik sahaja tahun 2020 membuka tirai, kami percaya usaha berterusan untuk menerapkan kepentingan kerusi khas ini diperlukan, terutamanya demi keselamatan anak-anak yang baru dilahirkan.

“Fokus yang diberikan ‘Dari Hari Pertama’ adalah untuk memastikan para ibu bapa tahu bagaimana mereka dapat memelihara keselamatan anak-anak mereka sejurus mereka keluar dari hospital bersalin. Amalan penggunaan kerusi khas kanak-kanak yang diterapkan oleh ibu bapa dalam diri mereka akan memenuhi hasrat kami,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, program subsisi tersebut akan diperkenalkan terlebih dahulu pada lima hospital kerajaan di kawasan Lembah Klang. BMW Malaysia dan Safe ‘n Sound akan mensubsidikan 150 kerusi kereta mudah bawa (carrier) ‘snskidz Ace’ yang setiap satunya bernilai RM100.

“Kami akan terus menggalakkan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak dengan menawarkan subsidi bersama Safe ‘n Sound untuk meningkatkan tahap aksesibiliti kerusi khas ini. Bagaimanapun, tidak cukup jika ibu bapa menggunakan kerusi tersebut tanpa memahami kaedah yang betul melibatkan pemilihan dan pemasangannya untuk memastikan keselamatan anak-anak mereka dapat dipelihara,” tambah Harald.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply