5 Kali Juara Dunia Tapi Buat Silap Macam Pelumba Baru – Vinales

Pelumba Yamaha, Maverick Vinales, mahu Jorge Lorenzo memulakan perlumbaan seterusnya di kedudukan terakhir selepas kesilapannya menyebabkan tiga pelumba lain terpaksa bersara awal dalam GP Catalunya yang berlangsung semalam.

Senario itu menyebabkan Vinales menggesa FIM untuk menghukum Jorge Lorenzo susulan tindakan gopoh pelumba Sepanyol itu di selekoh sepuluh menyebabkan tiga pelumba lain gagal menamatkan perlumbaan.

Menurut Crash.Net, Vinales menyifatkan kesilapan Lorenzo umpama seorang pelumba baharu di samping menyebabkan pencabar kejuaraan, Andrea Dovizioso ketinggalan 25 mata dibelakang pendahulu, Marc Marquez.

“Lorenzo boleh memintas saya di bahagian jalan lurus. Dia hanya perlu bersabar untuk empat selekoh lagi.

“Dia menyebabkan empat pelumba (termasuk dirinya) terkeluar daripada perlumbaan. Jika hanya saya atau Valentino, kami tidak merebut kejuaraan jadi senario itu tidak terlalu teruk.

“Tetapi pada masa sama dia juga menyebabkan Andrea terkeluar. Bukan mudah untuk mengutip kembali 25 mata.

“Saya mengharapkan Race Direction mengambil tindakan tegas terhadap Lorenzo sepertimana yang saya hadapi,” jelas Vinales.

Sementara itu, pelumba berusia 24 tahun itu turut berasa tidak puas hati kerana Lorenzo – juara dunia lima kali – tidak mengutarakan permohonan maaf yang sewajarnya. Lorenzo kemudiannya mendakwa dia telah pergi ke garaj Monster Yamaha, tetapi tiada kelibat Vinales dan Rossi.

“Dia tidak datang untuk memohon maaf. Ketika pusingan pemanas, dia memaksa saya membuat potongan di bahagian dalam, saya tak faham untuk apa. Dia Mugello, dia ada masalah dengan Jack Miller ketika pusingan pemanas. Ini adalah kesilapan biasa bagi pelumba baharu tetapi dia bekas juara dunia lima kali,” tambahnya.

Saksikan video insiden tersebut di bawah:

(SUMBER VIDEO: MotoGP @ Twitter)

Saingan MotoGP akan  kembali bersambung di Litar Assen, Belanda, 30 Jun ini.

(SUMBER: Crash.Net)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.