Ducati Elettrico Bakal Menjadi Kenyataan?

Ducati sememangnya sinonim dengan warisan rekaan motosikal yang menakjubkan. Pengeluar motosikal Itali itu tidak pernah gagal dalam menghasilkan jentera paling ‘seksi’ dalam dunia dua roda.

Kali ini, peminat motosikal sekali lagi boleh berasa kagum dengan reka bentuk yang berkemungkinan akan diserap pada jentera elektrik pertama yang bakal dihasilkan Ducati.

Tatkala pengeluar lain seringkali lari dengan identiti sendiri dalam menghasilkan motosikal elektrik, jangan terkejut kerana Ducati tetap akan mengekalkan imej mereka!

Ducati tidak menyembunyikan rancangan mereka untuk menempah nama dalam dunia motosikal elektrik bahkan awal tahun ini Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali telah mengesahkan mereka sedang dalam pembikinan jentera terbabit.

Minggu lalu, ramai yang terkilan apabila Ducati mengumumkan kerjasama dengan Vmoto untuk menghasilkan skuter elektrik Super SOCO CUx.

Bagaimanapun, ini semua merupakan langkah Ducati dalam menjelmakan motosikal elektrik yang sebenar. Bagi meraikan keterujaan itu, ini antara gambaran motosikal elektrik Ducati yang bakal membuat penampilan dalam masa terdekat.

Imej ‘render’ oleh pereka Aritra Das menunjukkan bagaimana motosikal elektrik Ducati masih mengekalkan reka bentuk ikonik pengeluar motosikal Itali itu.

Dinamakan, Ducati Elettrico – jangan keliru dengan Elettrica, skuter elektrik pertama Piaggio – rekaan keseluruhan ternyata menampakkan identiti Panigale.

Masih mengekalkan ‘single-sided swingarm’ dengan offset mono-shock, brek Brembo dan chain drive, antara lain, imej ‘render’ ini sedikit sebanyak memberi bayangan akan visi Ducati dalam dunia permotoran elektrik.

Namun, perlu diingatkan Elettrico hanya wujud dalam imej yang dikongsikan ini kerana tiada jaminan Ducati akan menuju ke arah ini 100 peratus tetapi seperti yang disahkan sendiri CEO Ducati, jangan terkejut jika inilah rupa motosikal elektrik permata yang akan dihasilkan dalam masa beberapa tahun ini.