Pencuri Motosikal Di Jakarta Pengsan Setelah Dikejar Ala Permainan Video GTA

Gambar dari filem Adnan Sempit untuk tujuan ilustrasi – Sumber: Metrowealth Pictures
  • Seorang pencuri motosikal menyangkakan dia telah mendapat satu sasaran yang mudah.
  • Namun, sebaliknya yang berlaku di mana dia telah dikejar sehingga pengsan.
  • Polis Jakarta telah menahannya sewaktu dia masih tidak sedarkan diri.

Seorang pencuri motosikal pengsan setelah dikejar tanpa henti oleh pemilik motosikal yang telah dicurinya.

Ketua Polis Tanah Abang, Senior Adjutan Komander Lukman Cahyono berkata yang pencuri berkenaan telah mencuri sebuah motosikal di luar kawasan sebuah rumah.

Pemilik motosikal terbabit telah meninggalkan motosikal yang hidup enjinnya itu untuk memanaskannya. Pencuri tersebut telah mengambil peluang ini dan melarikan motosikal tersebut.

Namun apa yang disangkakan sebagai sasaran mudah itu tersasar sama sekali apabila pemilik motosikal tersebut telah mengejar pencuri berkenaan di atas sebuah motosikal yang lain. Aksi kejar-mengejar ini berterusan sehingga Tanah Abang di Jakarta Tengah. Pada ketika itu enjin pada motosikal yang dicuri mula menghadapi masalah dan telah berhenti.

Pencuri itu kemudiannya telah meninggalkan motosikal itu dan cuba melarikan diri, pada masa yang sama masih dikejar oleh pemilik motosikal yang dicurinya itu. Terperangkap, dia mengambil keputusan untuk terjun ke dalam sebuah longkang banjir yang besar dan cuba untuk berenang ke tebing seberang.

Bagaimana pun, dia pengsan akibat kepenatan setelah tiba di seberang longkang tersebut.

Polis telah menahan pencuri tersebut sewaktu dia masih lagi tidak sedarkan diri. Pemilik motosikal tersebut telah berjaya mendapatkan motosikalnya semula dan membawa motosikal itu pulang.

Sumber: Jakarta Post

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.