Johann Zarco Kepenatan Bergelut Dengan Jentera Di MotoGP Argentina

Sumber imej: KTM Media Centre

  • Johann Zarco telah mengatakan bahawa dia kepenatan akibat bergelut dengan jenteranya sewaktu pusingan MotoGP Argentina.
  • Dia tidak mampu mengemudi jentera KTM RC16 mengikut cara yang diinginkannya.
  • Zarco telah menamatkan perlumbaan di tempat ke-15, manakala Hafizh Syahrin pula di tempat yang ke-16.

Sewaktu kami menulis tentang cabaran yang dihadapi oleh Hafizh Syahrin dengan jentera MotoGP KTM RC16, kami tertanya-tanya sama ada bekas teman sepasukannya sewaktu di pasukan Yamaha Tech 3, Johann Zarco, turut mengalami kesukaran.

Juara Moto2 dua kali itu telah menamatkan pusingan di Qatar di kedudukan ke-15, dan mendapat keputusan yang sama bagi pusingan Argentina. Itu pun ianya dibantu apabila Franco Morbidelli dan Maverick Viñales terbabas. Pada penghujung perlumbaan, Hafizh Syahrin berjaya mengekori rapat Zarco dan menamatkan perlumbaan di belakangnya.

Sebaliknya, penunggang lama KTM MotoGP, Pol Espargaro, dan penunggang baharu bagi Red Bull KTM Tech 3, Miguel Oliveira bersaing merebut tempat ke-10 dan ke-11.

Zarco tidak memberikan sebarang komen sebelum ini, namun, baru-baru ini dia telah berkongsi pandangannya dalam satu temuramah bersama Motorsports.com.

Pertama sekali, dia telah dihalang oleh Jorge Lorenzo yang tanpa sengaja telah tertekan butang pengehad kelajuan dalam pit pada jentera Repsol Honda-nya. Zarco jatuh ke tangga 21 sewaktu memasuki Selekoh 1. Perlumbaannya menjadi semakin lama semakin sukar.

“Saya bergelut sepanjang perlumbaan, dari mula lagi. Saya tidak tahu apa yang terjadi dengan Lorenzo dan saya terpaksa membrek keras di belakangnya, saya jatuh ke tempat kedua terakhir,” ujar Zarco.

“Permulaan perlumbaan, lapan pusingan yang pertama saya terasa agak baik tetapi tidak dapat memintas pesaing lain kerana saya tidak dapat mengawal baik jentera pada ketika itu.”

“Semakin lama perlumbaan, ianya menjadi semakin sukar bagi saya untuk mengemudi motosikal. Saya menghabiskan banyak tenaga.”

“Sukar untuk melupakan perlumbaan seperti ini, di mana saya tidak dapat melakukan apa yang saya mahu. Ini membuatkan saya bergelut dengan motosikal, dan dengan itu menyebabkan saya kepenatan.”

Pada ketika itu, motosikal itu mula menggelongsor, sukar untuk dibrek dan dipandu arah memasuki selekoh. Zarco menggunakan gaya tradisional “long-arc”, dengan erti kata lain, pembrekan awal bagi memastikan kelajuan pertengahan selekoh yang lebih tinggi dan peralihan selekoh yang lancar. Hafizh Syahrin juga menggunakan gaya sebegini.

Sumber imej: Fox Sports Asia

Adakah ini punca mengapa kedua-dua bekas penunggang Yamaha ini berhadapan dengan kesukaran?

Bagaimana pun, Zarco tetap berkeras ingin mengekalkan gaya penunggangannya, kerana dia percaya bahawa ini akan membolehkan jentera KTM untuk bertambah baik. Kekal dengan satu gaya bermakna anda tidak ada banyak pembolehubah yang perlu difikirkan, memudahkan anda untuk menumpukan pada perkara yang perlu diperbaiki.

Pengeluar dari Austria itu sudah pasti amat mendambakan khidmat penunggang uji mereka, Dani Pedrosa dan Mika Kallio, ketika ini. Kedua-dua penunggang berkenaan sedang dalam proses pemulihan dari kecederaan.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.