- Motosikal konsep Aprilia “RS660” mungkin bakal diperkenalkan sebagai model tahun 2020.
- Enjinnya mungkin akan diambil dari motosikal superbike RSV4, tanpa dua silinder belakangnya.
- Diharapkan yang ia muncul dengan tanda harga yang amat berdaya saing.
Masihkah anda ingat akan motosikal konsep 660cc yang amat mengancam, yang telah diperagakan oleh Aprilia sewaktu EICMA tahun lalu? Ada sumber yang telah memberitahu Moto-Station di Perancis bahawa yang ianya bakal muncul sebagai model tahun 2020. Ini bermakna motosikal ini mungkin telah pun bersedia menjelang suku ketiga tahun ini!
Dan khabar ini mungkin ada kebenarannya, memandangkan yang motosikal ini telah pun diintip menjalani ujian atas litar, pada hujung tahun lalu. Gambar intipan turut menunjukkan versi sedia perlumbaan dan juga motosikal kegunaan jalan raya.
Tiada maklumat mengenai prestasi mekanikal telah didedahkan buat masa ini. Ada spekulasi mengatakan yang enjinnya adalah berdasarkan enjin model RSV4. Bagaimana pun, sekiranya ianya benar, enjin model 660 ini akan hadir tanpa dua silinder belakangnya. Dengan sejarah perlumbaan Aprilia yang gemilang, kita boleh jangkakan yang ianya mungkin hadir dengan kuasa sehingga 100hp. Ia juga akan datang dengan pakej elektronik APRC.
Soalan yang lebih utama bagi para penggemar motosikal di Malaysia adalah harganya. Ini bergantung sama ada Aprilia ingin memasarkan motosikal ini sebagai sebuah motosikal premium mainan jutawan atau sebuah motosikal superbike untuk rakyat jelata.
Harapannya Aprilia akan memperkenalkan motosikal ini pada harga yang menggiurkan.