10 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Mengenai Ducati Diavel 1260 S Baharu!

1. Motosikal Ducati Diavel 1260 S ini 90% serba baharu.

Ya, tuan-tuan dan puan-puan. Hampir keseluruhan motosikal ini serba baharu, hanya lampu hadapan, lampu belakang, dan pemaparnya yang dikekalkan dari model sebelum ini, dan itu pun dari model XDiavel. Segala-galanya bermula dengan madgad ke lengan ayun, hinggalah ke tayarnya, semuanya serba baharu.

2. Motosikal ini lebih panjang dari dahulu.

Ianya beberapa milimeter lebih panjang, dan jarak antara roda yang lebih panjang itu memberikan perbezaan yang ketara, terutamanya dalam selekoh yang panjang. Motosikal ini rasa lebih stabil dan lebih seperti sebuah motosikal cruiser, tetapi dengan sebuah enjin yang amat berkuasa, sesuai dengan perwatakan power cruisernya itu.

3. Model asas didatangkan dalam satu kemasan warna manakala bagi varian S didatangkan dengan dua pilihan warna.

Ducati mendapati kemasan warna hitam telah mendapat sambutan yang hangat sekali, dan dengan itu memilih untuk menawarkan warna berkenaan bagi varian berspesifikasi tinggi S sahaja. Varian standard didatangkan dengan warna kelabu ‘sandstone’ seperti mana yang boleh dilihat di sini, yang mana juga turut ditawarkan bagi versi S. Anda pasti akan terpukau dengan warna kelabu ‘sandstone’-nya itu.

4. Pelananya 10mm lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Ya, tuan-tuan dan puan-puan. pelana pada motosikal Diavel yang baharu ini lebih tinggi sedikit, yang mana pasti menggembirakan penunggang yang lebih tinggi. Namun begitu, tuan-tuan tidak perlu risau kerana Ducati turut menawarkan pilihan pelana rendah.

5. Pakej elektronik yang telah dikemaskini dengan ketara.

Mod penunggangannya cukup menakjubkan, terutamanya mod ‘Sport’, yang mana telah membuatkan motosikal ini terasa seperti sebuah motosikal lumba sejati. Anda ada pilihan tiga mod – “Sport”, “Touring”, dan “Urban” – beserta dengan pelbagai bantuan seperti ABS, Kawalan Cengkaman, “Ducati Wheelie Control”, “Cornering ABS”, “Ducati Power Launch”, sebuah sistem ‘hands-free’ yang mengoperasikan penghidup enjin tanpa kunci dan menyambungkan anda kepada motosikal anda melalui sebuah aplikasi khas, dan bermacam-macam lagi. Dan paling hebat sekali, anda boleh tala ke semua ciri keselamatan elektroniknya itu sehinggalah ke butiran terkecilnya sekali. Tidak mahu gangguan ABS tetapi anda mahukan kawalan wheelie sepenuhnya? Motosikal ini boleh melakukannya untuk anda. Tiada masalah.

6. Tiada edisi Carbon, hanya varian standard dan S.

Buat masa ini, ianya hanya didatangkan dalam dua varian, dan kemudiannya, XDiavel bagi mereka yang lebih gemarkan ciri motosikal cruiser pada model Diavel mereka. Model standard 1260 datang tanpa suspensi Öhlins dan kelengkapan elektronik yang terhad, manakala 1260 S pula dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri yang menggiurkan.

7. Lampu Nyalaan Siang (DRL – Daytime Running Light) hanya ada pada varian S.

Benar. Jika anda mahukan lampu hadapan DRL-nya yang amat ranggi itu, bersedialah untuk mengeluarkan belanja lebih.

8. Ducati Quick Shifter didatangkan standard pada varian S, dan sebagai aksesori tambahan pada model standard 1260.

Sekali pun anda memilih untuk memiliki model Diavel yang asas, pilihlah untuk menambah DQS. Ianya perasaan yang amat menakjubkan dapat menukar gear tanpa kehilangan kuasa mahu pun pecutan, tiada senggang masa sewaktu anda mengerjakan klacnya bagi menukar gear. Percayalah, ianya amat berbaloi.

9. Tayar motosikal Diavel baharu ini amat mencengkam dan beraksi hebat sama ada dalam keadaan jalan yang kering mahu pun basah.

Tayar Pirelli Diablo Ross III bercirikan teknologi dwi-kompaun (lembut pada bahagian luar dan keras di sebelah dalam). Kawasan luar yang lebih lembut itu lebih luas dari sebelum ini dan memberikan anda lebih banyak cengkaman walaupun sewaktu tengah mengiringkan motosikal anda. Tayar ini memberikan keyakinan yang luar biasa sama ada dalam keadaan jalan raya yang kering mahu pun basah.

10. Ianya akan dilancarkan di Malaysia pada bulan hadapan! Harga masih belum didedahkan pada waktu ini.

Kami tidak mengetahui tarikh sebenar pelancarannya, tetapi, model Diavel terkini ini akan tiba dalam masa yang terdekat. Dan sekiranya anda sedang mencari sebuah motosikal power cruiser yang memiliki prestasi untuk mengejar motosikal lumba, inilah calon utama anda.

Ulasan penuh akan tiba nanti!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.