Tunggang Uji KTM 790 Adventure Dan KTM 790 Adventure R

  • Kami telah berpeluang menunggang uji model KTM 790 Adventure dan KTM 790 Adventure R di Maghribi.
  • KTM telah menggelar kedua-dua buah motosikal ini sebagai motosikal dwi-sukan paling berkebolehan untuk penunggangan ‘off-road’.
  • Kami telah menunggang uji motosikal-motosikal ini di atas jalan raya dan juga di padang pasir.

Artikel oleh Wahid Ooi Abdullah untuk BikesRepublic.com

Atas ehsan KTM Malaysia dan KTM AG, kami telah terbang ke Maghribi di Afrika Utara untuk menghadiri majlis Pelancaran Media Antarabangsa KTM 790 Adventure dan KTM 790 Adventure R .

Pangkalan operasi telah didirikan di bandar oasis Erfoud, berhampiran dengan sempadan Algeria.

Pengenalan kepada platform KTM 790 Adventure

Rangkaian 790 Adventure ini telah digelar sebagai “motosikal kembara paling berkebolehan dalam pasaran.” KTM yakin yang ianya akan mencetuskan revolusi dalam segmen motosikal kembara/dwi-sukan, di mana mereka telah meninggalkan ‘reka bentuk tradisional’ sebuah motosikal dwi-sukan.

Dalam membangunkan motosikal-motosikal ini, KTM menyatakan yang mereka telah mendapat maklum balas dari para pelanggan, bermula dari para penunggang ‘off-road’ kasual, sehinggalah ke penunggang professional seperti Chris Birch.

Misi mereka itu telah membuahkan dua buah model yang jelas berbeza berasaskan sebuah platform. Model 790 Adventure (yang biasanya digelar sebagai model “S”) adalah model yang lebih cenderung jalan raya, manakala bagi model 790 Adventure pula, ianya lebih cenderung untuk penunggangan ‘off-road’.

Walaupun kedua-dua buah motosikal ini tampak mirip seperti motosikal 690 Enduro R, ia sebenarnya berasaskan kepada konsep EX/C yang kompak dan ringan.

Pertama sekali, kedua-dua motosikal ini berkongsi:

  • Enjin LC8c, parallel-Twin, 799cc, dengan ‘camshaft’ dan penalaan ECU untuk jangkauan tork rendah ke sederhana yang lebih baik. Ia menghasilkan 94hp pada 8,000rpm serta 88Nm tork pada 6,600rpm.

  • Kerangka trellis ‘chrome-moly’.
  • Roda berjejari wayar 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang. Tayarnya pula adalah tayar Avon Trailrider pada model Adventure dan Metzeler Karoo 3 pada Adventure R.
  • Tangki bahanapi 20 liter yang dipaut rendah.

  • Dwi-cakera brek hadapan yang dicengkam oleh angkup ‘four-pot’.
  • Skrin TFT.

  • Bahagian badan yang diperbuat daripada polimer berwarna istimewa yang kalis calar.
  • Reraup yang direka bagi menyalurkan angin dan haba enjin menjauhi penunggang.

Kami telah liputi beberapa ciri-ciri serta bahagian teknikal motosikal ini dalam satu artikel sebelum ini (sila TEKAN SINI). Namun, kami belum liputi mengenai kelengkapan elektroniknya.

Kedua-dua motosikal ini menggunakan kawalan cengkaman berasaskan IMU beserta dengan ABS menyelekoh, di samping ‘Motor Slip Regulation’ yang berfungsi seiring dengan klac gelincir. Terdapat juga ‘Offroad ABS’ pada kedua-dua model ini.

Motosikal 790 Adventure didatangkan dengan tiga mod penunggangan: Street, Rain dan Offroad. Model 790 Adventure R pula, mempunyai empat mod penunggangan: Street, Rain, Offroad, dan Rally.

Mod Rally datang dengan satu implentasi baharu. Ianya kini boleh dikonfigurasikan sepenuhnya mengikut keperluan penunggang dan juga keadaan penunggangan, dan bukannya datang dengan satu ‘strategi’ praset yang tertentu.

Sebagai contoh, setelah bertukar ke Mod Rally, anda boleh pilih tahap tindak balas pendikit, sama ada untuk Street (lebih lancar), atau Offroad (lebih agresif). Selepas itu, anda boleh tukar tahap kawalan cengkaman dari 1 (paling sedikit) ke 9 (paling banyak). Tahap kawalan cengkaman boleh ditukar serta-merta melalui butang yang ada pada blok suis di sebelah kiri palang pemegang.

Mod Rally boleh ditambah sebagai pilihan tambahan untuk model asas. Pilihan tambahan elektronik yang lain bagi kedua-dua model ini adalah Quickshifter+ yang berfungsi untuk pertukaran ke gear yang lebih tinggi atau lebih rendah, Cruise Control, dan MyRide.

Tanggapan Penunggangan: 790 Adventure

Mari kita teruskan dengan tanggapan penunggangan model-model ini.

Kami mulakan dengan model Adventure memandangkan ianya model asas.

Sesi kami bermula di sebelah petang, sewaktu cuaca lebih sejuk. Namun ia juga bermakna yang anginnya juga telah bertambah kuat.

Duduk di atasnya, yang pertama sekali dapat saya rasakan adakan kesamaannya dengan sebuah KTM EX/C-F Enduro. Bahagian atas tangki bahanapi hanya sampai pada pusat penusi, dan bukan di bawah rusuk. Ada dua sebab untuknya, iaitu:

1. Bahagian atas tangki yang lebih kecil membolehkan penunggang untuk mengalihkan berat badannya ke hadapan bagi mengenakan lebih berat pada bahagian tayar hadapan, mirip motosikal enduro.
2. Kestabilan yang lebih baik terutamanya pada kelajuan rendah kerana berat bahanapi berada di tempat yang lebih rendah.

Walaupun posisi lebih rendahnya dikatakan pada 850mm, ketinggian pelana itu membolehkan saya untuk meletakkan satu kaki di atas tanah, dengan sebelah lagi berada mudah di atas tempat letak kaki.

Enjin dengan mudah bergerak melalui gearnya manakala quickshifter memastikan kitaran sentiasa tinggi. Paling menyeronokkan sekali adalah dari gear 3-4-5. Gear masuk dengan mudah tanpa sebarang masalah. Walaupun dengan angin yang kuat dan jalan raya licin diliputi pasir yang halus, kami berjaya mencecah hampir 160km/j sewaktu beberapa seksyen.

Tetapi, pada masa yang sama, motosikal ini masih menunjukkan sifat pengendalian yang amat ringan, dengan kebolehan untuk mengubah haluan dengan pantas sewaktu kami mendaki lembah yang menghijau. Jalan raya satu laluan itu bersimpang-siur dan bagaikan memanggil-manggil namun angin telah mengganggu maklum balas stereng penulis. Beberapa kali motosikal mengiring tanpa dijangka, menyebabkan roda belakangnya tergelincir sedikit.

Selain itu, tangki bahanapi yang rendah itu bermakna badan penulis berada lebih ke hadapan di atas motosikal. Palang pemegangnya itu ada ketikanya terasa agak menyentak, seperti model EX/C. Bingung sekejap jadinya.

Adakah ianya kerana penulis memandu arahnya dengan terlalu keras?

Kami berjaya menunggang buat satu jarak yang pendek motosikal ini atas jalan tanah merah menuju ke satu tempat pemandangan yang indah, dan ia terasa diimbang dengan baik sekali. Saya mengekalkannya pada Mod Street, dan motosikal itu tidak sekali pun terasa seperti hendak tergelincir di atas denai tanah merah itu. Kebanyakan penunggang yang menghadiri tunggang uji ini pernah menunggang dalam keadaan sebegini, yang mana ianya jauh berbeza dari apa yang ada di Malaysia.

Kami berhenti di sebuah perkampungan untuk merakamkan gambar-gambar motosikal KTM 790 Adventure ini, dan pada ketika itu, anak-anak muda datang mendekati kami dan bagi merakamkan gambar-gambar motosikal ini. Di sebuah kampung yang berlainan, kanak-kanak bersorak sewaktu kami menunggangnya. Mereka turut meminta kami untuk melakukan wheelie.

Angin mulai berhenti sewaktu kami menuju pulang ke hotel. Pada waktu ini, motosikal itu terasa berbeza. Masih mudah untuk dibelok dengan setiap tindak balas stereng tetapi tidak mudah menyentak seperti sebelum ini.

Tanggapan penunggangan: 790 Adventure R

Pihak penganjur memutuskan yang kami akan bertolak dengan lebih awal pagi bagi mengelakkan angin kuat. Kami bangun seawal 5 pagi untuk bersiap dan menikmati sarapan sebelum mula bergerak pada jam 7 pagi. Kumpulan penulis telah diketuai oleh ketua pasukan KTM Rally Team dan bekas pemenang Rali Dakar, Jordi Villadoms!

Tanggapan pertama mengenai model R ini adalah ianya amat baik sekali dengan badan yang ramping dan palang pemegang yang ditetapkan pada ketinggian serta kelebaran yang sempurna. Namun, penulis masih mempunyai masalah yang sama seperti ke semua model KTM yang lain: mencapai tongkat kakinya dengan kaki kiri. Mungkin rangkaian pilihan tambahan Powerparts ada tongkat dengan ‘tang’ yang lebih tinggi.

Motosikal ini terasa jauh lebih baik sewaktu kami mulai perjalanan. Suspensinya memberikan motosikal rasa yang lebih tegap, walaupun dengan tayar offroadnya yang besar itu. Model R ini dilengkapi dengan fork ‘split function’ WP XPLOR dan penyerap hentakan belakang boleh laras sepenuhnya XPLOR. Digandingkan, ianya mempunyai ruang gerakan 240mm, berbanding dengan 200mm yang ada pada model asas.

Kami tiba di laluan denai pertama, seksyen yang agak sukar. Kami teruskan penunggangan dalam Mod Street sehingga kami berhenti untuk bertukar ke Mod Rally dan pilih tindak balas pendikit dan tahap kawalan cengkaman yang kami gemari.

Kami masuk ke satu lagi denai dengan lebih banyak pasir yang lembut. Di sinilah tangki rendahnya yang membingungkan penulis semalam mulai masuk akal. Sewaktu berdiri, lutut penulis berada jauh di hadapan, jadi, membolehkan penulis untuk membelok di atas tanah merah dengan penuh yakin. Penulis sering mengalami masalah membuat pusingan-U dengan motosikal, tetapi, ianya cukup mudah dengan model R ini, kerana beratnya berada jauh di bawah.

Penulis baru sekali menunggang di atas pasir sebelum ini, di Afrika Selatan kira-kira 5 tahun yang lalu. Ianya berlainan daripada menunggang di atas tanah lumpur dan batu kerikil seperti di Malaysia. Pasir akan mencengkam roda hadapan sebaik sahaja saya mulai berhenti, menyebabkannya bergoyang ke kiri dan ke kanan. Namun sebaik sahaja kita pulas pendikitnya, motosikal akan meluruskan dirinya sendiri dan pantas dan mudah. Tetapi, itulah, kerana jarang sekali menunggang atas pasir, badan penulis masih tidak biasa dengannya.

Kami menunggang menuju ke sempadan Gurun Sahara. Kawasan desa yang terbentang luas dan rata itu digantikan dengan gumuk-gumuk pasir seperti mana yang kita pernah lihat dalam filem “The Mummy”. (Pada waktu itu, saya tidak sedar bahawa filem berkenaan telah membuat penggambarannya di sini.)

“Ok, sekarang kita akan menunggang menaiki gumuk-gumuk pasir itu untuk bergambar dan merakam video,” ujar encik Villadoms. Dia mematikan MSR dan MTC dan kemudiannya berkata, “Ok,go!”

Pada percubaan pertama saya, saya memanjat sisi gumuk itu dan memulaskan pendikit motosikal. Motosikal tersebut dengan mudah merentas pasir.

Sewaktu menuruninya, kru penggambaran berada di hadapan penulis. Saya risau terlanggar mereka jadi saya memperlahankan dan mencondong ke sebelah kiri motosikal (sepatutnya menekan ke bawah). Pasir mencengkam roda hadapan dan saya pulas pendikit sebanyak yang boleh di samping cuba mengawalnya supaya tidak terlanggar jurugambar. Motosikal itu mulai meluruskan diri, tetapi, saya terlalu rapat dengan mereka, jadi saya telah menekan brek. Gumuk pasir itu telah menelan kaki kiri saya dan menyebabkan kami terjatuh. Di hadapan para penunggang yang lain. Malu sekejap penulis.

Kru KTM termasuklah Pengurus Kanan Produk – Midrange, Adriaan Sinke, telah datang untuk berbincang dengan penulis. Mereka memberikan pilihan sama ada untuk meneruskan perjalanan ke tahap yang berikutnya melalui jalan raya sebelum memasuki denai batu kerikil dan pasir. Saya akan mengikut Luke Brackenbury, Pengurus Media PR Street. Kami boleh bersilih ganti antara model asas dan R dalam perjalanan tersebut sekiranya saya mahu.

“Kau nak masuk penjara ke?” kata Luke pada saya. Eh? Saya tidak berkata apa-apa dan bersetuju sahaja. (Penulis baru sahaja memuatnaik gambar ke Instagram dengan kapsyen, “Welcome to Tattoine” dan kini, penulis akan mengikut seorang lelaki bernama Luke.)

Angin lintang 34km/j meniup debu-debu pasir tebal merentas jalan raya namun kami berjaya menunggang merentasinya. Sebaik sahaja kami merentasinya, Luke melakukan wheelie.

Saya menunggang model asas sepanjang perjalanan dan mendapati yang ianya cukup berkebolehan dalam keadaan yang sukar, walaupun dengan tayar road/offroad 50/50. Apabila keyakinan saya datang kembali, pelajaran penunggangan offroad yang dipelajari daripada Chris Birch, Oh Kah Beng, dan Rob Armstrong mula diingati kembali. Kini saya pulas pendikitnya sewaktu ketika berhadapan pasir yang dalam dan ketika melompat. Untuk keseronokan sebeginilah terhasilnya motosikal 790 Adventure ini! Malah, saya telah memperlahankannya bagi memutarkan roda belakangnya untuk menyebabkannya meng’fishtail’.

Kami menuju ke kawasan pedalaman yang mirip seperti gambar NASA dari Marikh. Sebenarnya, NASA telah melakukan bermacam kajian berkaitan planet Marikh di kawasan ini. Ia juga merupakan tempat penggambaran filem yang terkenal.

Saya dan Luke tiba di “Penjara”. Atau lebih tepat lagi “Gara de Medouar”, “Penjara Portugis”. Ia tampak seperti kawah gunung berapi yang sudah mati tetapi sebenarnya adalah formasi batu dari era pra sejarah Cambria/Devon. Ia diberi nama “Penjara” kerana ia pernah digunakan sebagai tempat menahan hamba abdi Afrika yang akan dijual di Portugal.

Ia juga merupakan lokasi penggambaran bagi filem-filem terkemuka, antaranya “The Mummy”, “The Mummy Returns”, “Prince of Persia: The Sands of Time”, “Spectre”, dan juga “The Secret of the Sahara”.

Denai menuju ke lokasi ini disenaraikan dalam laman sesawang dangerousroads.org sebagai jalan yang merbahaya. Tetapi, di atas motosikal 790 Adventure (standard) dan 790 Adventure R ini, ia bagai tunggangan santai hari Ahad.

Kami menangkap beberapa buah gambar sebelum menuju pulang ke hotel. Beberapa penunggang dari kumpulan yang lain telah menyertai kami dan pulang dengan lebih awal, dengan harapan untuk menonton pusingan MotoGP Qatar di hotel. Anginnya mula bertiup kencang pada saat ini dan motosikal yang berada di hadapan mencondong ke sisi sewaktu bergerak dengan lurus. Kami tiba di hotel dengan selamat.

Kesimpulan

Ada dua perkara yang penulis rasa boleh menjadikannya lebih hebat. Pertama adalah pelana standard pada model asas itu agak keras tetapi ianya boleh sahaja digantikan dengan pelana gel Powerparts. Kedua, KTM telah mengimpal satu ‘tang’ pada ‘kickstand’ model R tetapi ianya agak rendah. Motosikal dwi-sukan yang lain ada tongkat dengan ‘tang’ yang terletak lebih tinggi. Ianya bukan satu masalah yang besar tetapi lebih kepada kegemaran peribadi penulis.

Kedua-dua model KTM 790 Adventure ini benar-benar model yang berkebolehan untuk penunggangan ‘offroad’ seperti mana diwar-warkan oleh pengeluarnya. Ia mungkin tanpa rasa sport-touring sebuah motosikal dwi-sukan ‘tradisional’ tetapi, sekiranya perjalanan anda mempunyai seksyen penunggangan tanah merah yang lebih sukar daripada beberapa buah denai hutan, anda boleh pilih model asasnya. Sebaliknya, bagi penunggang ‘offroad’ serius seperti Gabit, Bee Wong, Alex Wong, Charles Loo, dan lain-lain, Adventure R pasti tunggangan yang akan banyak membantu sewaktu penunggangan seperti Rimba Raid.

Sumber imej oleh: Marco Campelli, Sebas Romero, dan Wahid Ooi Abdullah

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]