Tunggang Uji Moto Guzzi V9 Roamer Custom

Moto Guzzi Malaysia telah membina motosikal Moto Guzzi V9 Roamer Custom bagi menyerlahkan kebolehan pengubahsuaian motosikal berkenaan.
Pengubahsuaian tersebut tidak mencacatkan tahap kebolehtunggangan dan jiwa model V9 Roamer itu.
Sebaliknya, ia meningkatkan lagi perwatakan dan daya tarikan motosikal ini.

Dalam dunia permotosikalan, kerja-kerja pengubahsuaian oleh pengilang pada motosikal yang sedia ada adalah satu tugas yang mungkin menjadi atau pun tidak. Ini kerana motosikal buatan khas ini pada sifatnya adalah sesuatu yang agak peribadi dari segi rupa bentuk, di mana lain penunggang, lain idea dan keinginan mereka mengenai bagaimana rupa sesebuah motosikal itu sekiranya mereka ingin mengubahsuainya. Dan dengan itu, pembikinan sebuah motosikal ‘buatan khas pengilang’ adalah satu tugas yang berisiko, namun, ia tidak dapat menghalang terciptanya motosikal Moto Guzzi V9 Roamer Custom ini.

Didatangkan dengan kemasan warna “Gister colour-concept” yang menawan ini, yang mana ianya berwarna biru dan jingga seperti warna yang digunakan GULF Oil Racing, motosikal yang menawan ini adalah satu pemandangan yang cukup mengagumkan. Berasaskan motosikal Moto Guzzi V9 Roamer, model Custom ini telah dilengkapi dengan enjin V-Twin, 853cc yang menghasilkan 55hp dan 62Nm tork, namun, dari segi visualnya motosikal Custom ini tampak menawan sekali dengan bahagian pelindung penggoyang enjin yang disadur dengan krom.

Perbezaan ketara yang lain berbanding dengan motosikal V9 yang biasa adalah tangki bahanapi dari model V7, dapra hadapan dan belakang yang lebih pendek, pelana berganda buatan khas di atas kerangka yang dipendekkan, diliputi dengan kulit berwarna perang gelap, sistem ekzos “Sunny” buatan khas dengan pendakap, cermin sisi dan lampu hadapan buatan khas, palang pemegang jenis ‘scrambler” buatan khas dan pemegang pelana belakang.

Yang paling menakjubkan mengenai motosikal Moto Guzzi V9 Custom ini, adalah, tidak seperti sesetengah motosikal buatan khas yang lain, motosikal ini cukup mudah untuk ditunggang. Ia memiliki daya kilas tahap rendah yang sama seperti motosikal V9 yang biasa, dengan kelebihan tambahan bunyinya yang mengujakan. Paip ekzos buatan khasnya itu menghasilkan bunyi ekzos yang cukup mengagumkan yang perlu anda dengan sendiri.

Model V9 Custom ini turut memiliki posisi menunggang yang selesa, dan ianya dibolehkan kerana palang pemegang buatan khasnya itu, dan di mana pelananya mungkin lebih selesa jika ia mempunyai lebih banyak pelapik dan sokongan – sewaktu memecut laju anda mungkin sekali tergelongsor sehingga ke bahagian belakang – posisinya agak menegak. Pada kelajuan yang lebih tinggi, ‘tendangan’ enjin yang sinonim dengan enjin V-Twin pautan melintang itu tidak lagi dirasai, di mana pengimbang-balasnya mula berfungsi dengan sempurna pada kelajuan melebihi 100km/j.

Penggemar motosikal buatan khas seperti motosikal Moto Guzzi V9 Custom binaan Goh Brothers @ Gasket Alley ini jarang sekali akan melihat lembaran spesifikasinya (tetapi, kalau anda mahu, kami telah letakkan di bawah). Bagi mereka rupa bentuk itu lebih penting daripada kelajuan tertinggi sesebuah motosikal. Namun, jika ada motosikal buatan khas dengan rupa bentuk yang menawan dan pada masa yang sama memiliki tahap prestasi yang mengagumkan, ia pasti akan menarik perhatian lebih ramai penggemar. Dan model Moto Guzzi V9 Roamer Custom ini adalah salah sebuah motosikal tersebut.

Pengubahsuaian Khas Moto Guzzi V9

  • Pelana berganda buatan khas dengan kerangka dipendekkan.
  • Kulit berwarna perang gelap sebagai bahan upholsteri.
  • Sistem ekzos Sunny buatan khas dengan pendakap.
  • Palang pemegang ala scrambler buatan khas.
  • Pemegang pelana belakang.
  • Dapra belakang buatan khas pendek dan langsing.
  • Dapra hadapan buatan khas langsing.
  • Tangki bahanapi Moto Guzzi V7.
  • Pelindung penggoyang enjin disadur krom.
  • Kemasan warna konsep warna “Gister”.

Spesifikasi model V9 Roamer asas

  • Model asas: Moto Guzzi V9 Roamer
  • Tahun: 2018
  • Kategori: Klasik

Enjin dan transmisi

  • Kapasiti: 853.00 (52.05 inci per segi).
  • Jenis enjin: V2, empat lejang.
  • Kuasa: 55.00 HP (40.1kW) pada 6,250rpm.
  • Tork: 62.00Nm (6.3kgf-m atau 45.7 ft.lbs) pada 3,000rpm.
  • Mampatan: 10.5:1.
  • Sistem bahanapi: Suntikan. Weber-Marelli.
  • Sistem pendinginan: Udara.
  • Kotak gear: lima kelajuan.
  • Jenis transmisi, pacuan akhir: pacuan syaf (cardan).
  • Klac: Cakera tunggal berjejari 170mm dengan gandingan fleksibel bersepadu.
  • Maklumat emisi: pengubah bermangkin, Euro 4.
  • Sistem ekzos: Keluli tahan karat, jenis ‘2-in-2’, pengubah bermangkin tiga arah dengan prob oksigen dwi lambda.

Casis, suspensi, brek dan roda

  • Jenis kerangka: kerangka ‘cradle’ tiub berganda keluli ALS.
  • Rake (sudut fork): 26.4º.
  • Trail: 125mm (4.9 inci).
  • Suspensi hadapan: Fork teleskopik hidraulik.
  • Ruang gerakan suspensi roda hadapan: 130mm (5.1mm).
  • Suspensi belakang: Penyerap hentakan berganda.
  • Ruang gerakan suspensi roda belakang: 97mm (3.8 inci).
  • Tayar hadapan: 100/90-19.
  • Tayar belakang: 150/80-16.
  • Brek hadapan: Cakera tunggal. ABS. Angkup empat omboh berlawanan Brembo.
  • Diameter brek hadapan: 320mm (12.6 inci).
  • Brek belakang: Cakera tunggal. ABS.
  • Diameter brek belakang: 260mm (10.2 inci).
  • Pelana: Pelana berganda.

Ukuran dan kapasiti fizikal

  • Berat basah: 199.0kg (438.7lbs).
  • Ketinggian pelana: 785mm (30.9 inci).
  • Tinggi keseluruhan: 1,165 mm (45.9 inci).
  • Panjang keseluruhan: 2,240 mm (88.2 inci).
  • Lebar keseluruhan: 865 mm (34.1 inci).
  • Jarak antara roda: 1,478 mm (58.2 inci).
  • Kapasiti bahanapi: 15.00 liter (3.96 gelen).
  • Kapasiti bahanapi simpanan: 4.00 liter (1.06 gelen).

Spesifikasi lain

  • Pilihan warna: Putih, kuning.
  • Penghidup enjin: Elektrik.

Ditunggang uji oleh Chris Wee untuk Piston.my

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]