Tunggang Uji Kawasaki Ninja H2 SX SE – Jentera Merentas Ruang Dan Masa Dua Roda

  • Model Kawasaki Ninja H2 SX SE adalah varian sport tourer bagi platform H2.
  • Pada masa ini, ia merupakan motosikal sport tourer terpantas dan paling berkuasa.
  • Ditetapkan pada harga RM136,900.

Artikel oleh Wahid Ooi Abdullah untuk BikesRepublic.com

Sewaktu menunggang motosikal Kawasaki Ninja H2 SX SE ini, penulis teringat pada Teori Relativiti Am Albert Einstein.

Menurut teori berkenaan, lebih pantas anda bergerak, lebih perlahan persekitaran anda. Namun, masa bergerak lebih pantas bagi mereka yang tidak bergerak selaju anda. Sebagai contoh, bagi anda sudah 12 minit telah berlalu, tetapi bagi yang lain ianya sudah 24 minit. Ini digelar ‘dilasi masa’.

Pengenalan

Kawasaki telah memperkenalkan beberapa buah jentera touring yang pantas, Antaranya adalah Ninja 1000SX (sebelum ini dikenali sebagai Z1000SX), Versys 1000, dan yang paling terkenal, 1400GTR.

Model 1400GTR menguasai segmen sport touring bertahun lamanya sejak pengenalannya. Sering kali kita melihat motosikal ini memecut lebih dari 200km/j di atas lebuh raya lengkap dengan bagasi dan pembonceng. Namun, Kawasaki perlukan sesuatu yang lebih bagi menyaingi KTM 1290 Super Duke GT yang berkuasa 170hp.

Tetapi, daripada membina sebuah model baharu sepenuh, mereka telah mengambil enjin H2 yang amat berkuasa itu dan membina sebuah motosikal sport tourer untuknya. Adakah ini idea yang baik? Tidak terlalu banyak kuasakah bagi sebuah motosikal untuk perjalanan jauh yang sudah pasti lengkap dengan bagasi dan pembonceng?

Itu soalan sama yang bermain di minda kami.

Ciri-ciri

Mari kita mula dengan enjin cas lampau motosikal ini. Enjin ‘supercharger’ bagi rangkaian H2 SX ini digelar oleh Kawasaki sebagai “balanced supercharger”. Seperti namanya itu, pemampatnya telah dioptimumkan untuk daya kilas yang boleh dikawal pada seluruh jangkauan kitaran, dan bukannya kuasa kuda semata-mata seperti pada model H2 (231hp) dan juga model H2R (342bp tanpa ‘ram air’).

Dalam keadaan sebenar, ia memberikan penunggang pemecutan yang lancar di seluruh jangkauan kitaran. Ia juga membolehkan motosikal ini membawa berat tambahan bagasi dan pembonceng.

Banyak mana kuasa kuda sekali pun tiada maknanya sekiranya penunggang perlu menggesa keras enjin untuk menggerakkan motosikal.

Jadi, berapa banyak kuasa kuda yang dihasilkan oleh model H2 SX SE ini? 197hp pada 11,000rpm dan 137.3Nm tork pada 9,500rpm. Tampak biasa-biasa sahaja tetapi ingat, ianya sebuah motosikal tourer. Namun, jumlah ini tetap meletakkannya sebagai motosikal sport tourer paling berkuasa.

Rangkaian H2 SX terdiri dari tiga varian: model SX asas, pertengahan SX SE, dan terbaru, SX SE+. Enjin dan penalaannya sama bagi semua varian.

Model H2 SX asas dilengkapi:

  • Kawalan bersiar elektronik.
  • Kawasaki Engine Brake Control (KEBC) yang membolehkan penunggang memilih tahap pembrekan enjin.
  • Kawasaki Corner Management Function (KCMF) berasaskan IMU yang berfungsi dengan;
  • Kawasaki Traction Control (KTRC) dan;
  • Kawasaki Intelligent anti-Lock Brake System (KIBS) yang memberikan kawalan cengkaman sensitif sudut condong dan ABS.

Selain daripada perincian model asas, model H2 SX SE juga dilengkapi:

  • Skrin TFT.

  • Penghadang angin yang lebih besar.

  • Pencengkam dipanaskan.
  • Lampu menyelekoh LED.

  • Palam pengecas DC.
  • Roda yang dicanai khas.
  • Kawasaki Quick Shift (KQS) dwi-arah.

Model H2 SX SE+ 2019 pula dilengkapi dengan ke semua ciri di atas, di samping:

  • Kawasaki Electronic Control Suspension (KECS).
  • Mod Penunggangan Berintegrasi.
  • Keterpautan Bluetooth telefon pintar.
  • Cat pulih kendiri.

Tanggapan penunggangan

Perkara pertama yang menarik perhatian kami adalah kedudukan palang pemegangnya. Kami telah biasa dengan motosikal sport tourer kontemporari yang mana palang pemegangnya berada tinggi dan lebih dekat dengan penunggang. Kami dapati motosikal ini dilengkapi palang pemegang ‘clip-on’ yang lebih rendah. Benar, tuan-tuan, palang pemegang ‘clip-on’ yang dipaut atas apit tiga atas.

Dan dengan itu, posisi duduknya adalah antara model H2 dan 1400GTR. Tempat letak kakinya juga dipaut di antara perbezaan dua model berkenaan.

Tetapi, mengapa palang pemegangnya berada di posisi yang agak rendah? Ini kerana posisi ini paling sesuai sekali apabila motosikal ini memecut laju. Ianya bukanlah tidak selesa – cuma berbeza berbanding motosikal sport tourer, termasuklah Super Duke GT.

Satu tip untuk bakal pemilik: Jika rakan anda bertanyakan kenapa motosikal ini hanya ada 197hp, anda jawab, “Kerana ianya sebuah sport tourer.” Jika dia tanya mengenai posisi menunggangnya yang sporty, anda jawab, ” Sebab ianya sebuah superbike”. Kacang.

Penulis akui, saya agak gentar, jadi saya pilih tahap kuasa Medium (M). Tetapi, kegentaran itu hilang sebaik sahaja tuil klac dilepaskan – motosikal ini bergerak dengan lancar sekali! Palang pemegangnya tidak terasa berat langsung. Ianya ringan dan anda boleh memandu arahnya dengan mudah dalam trafik.

Memandu arah memasuki selekoh terasa agak meragukan pada mulanya, namun, kami kemudiannya telah mendapati terdapat terlalu banyak lantunan dan redaman pemampatan pada forknya. Memutarnya 4 klik bagi setiap parameter menyelesaikan masalah ini dan bahagian hadapannya mencengkam jalan dan menggerakkan motosikal ini.

Anda pasti lebih tertanya-tanya mengenai kuasanya, bukan? Di sini kami boleh katakan yang ianya sebuah motosikal sport tourer yang tiada taranya.

Bergerak pada 110km/j dalam gear ke-6, masih lagi dalam mod kuasa M, saya memulas separuh pendikit. Motosikal ini meluru dengan deruman yang mengujakan dan bunyi lohong masukan ala jet. 6 tiang kemudian, speedometer telah menunjukkan kelajuan 201km/j.

Anda tidak akan terasa kelajuannya kerana penghadang anginnya yang besar itu menempiaskan angin dari badan dan juga kepala. Selain itu, enjin dan ekzosnya amat teredam bunyinya. Seringkali penulis mendekati selekoh atau kenderaan di hadapan jauh lebih pantas daripada yang dijangkakan. Mujurlah pengendalian dan breknya amat mengagumkan.

Quickshifternya memasuki gear dengan mudah, namun, ianya lebih lancar jika anda menggunakan klac bagi menukar dari gear satu ke gear dua, ke gear tiga dalam kelajuan rendah. Bagaimana pun, ia menukar gear dengan lebih lancar sekiranya anda gunakan mod F (Full).

Menjarah selekoh

Di manakah tempat terbaik untuk menguji pengendalian dan suspensi motosikal jalan raya? Sudah semestinya jalan menuju ke Genting Highlands.

Saya memutuskan untuk menunggang memanjat bukit pada sebelah malam, kerana ianya lebih sejuk.

Di Lebuhraya Karak, motosikal ini dengan mudah memintas semua kenderaan yang lain.

Kenderaan-kenderaan lain dengan pantas lenyap dari cermin pandang belakang. Dan ianya bukan sekadar kelajuan pada garis lurus. Motosikal H2 SX SE ini dengan mudah menyelusuri selekoh Karak ini dengan mudah sekali. Selekoh panjang di sana bagaikan taman permainannya.

Mendaki jalan Genting, motosikal ini memerlukan pemanduan arah yang lancar, terutamanya di selekoh yang tidak rata. Dengan saiznya yang panjang dan agak berat, anda perlu brek lebih awal pada selekoh dan memandu arah dengan lebih awal. Sewaktu anda tiba di kemuncak selekoh, dirikan balik sedikit motosikal dan pulas pendikit – dengan teliti dan lancar – memecut keluar dari selekoh. Alirannya tidak terlalu lancar sekiranya anda jenis penunggang yang membetulkan kelajuan memasuki selekoh yang perlahan dengan pulasan pendikit awal.

Saya tidak terlalu mendesak kebolehan motosikal ini, memandangkan ianya waktu malam. Sebaliknya, saya telah menunggang secara lancar dan menikmati pemecutannya yang hebat dan kebolehannya membelok tajam memasuki selekoh. Ia hanya mengambil masa 12 minit sahaja dari BHP Gombak ke Restoran Nanyang di Gohtong Jaya. Rahsianya adalah pemecutan yang pantas bagi mencapai kelajuan tinggi selepas memperlahankan motosikal. Dengan ini, kelajuan puratanya kekal tinggi.

Tetapi, sekadar mengatakan yang motosikal ini pantas tanpa memuji pengendalian keseluruhannya adalah tidak adil. Motosikal ini bertindak balas dengan baik sekali sewaktu ditunggang dalam kesesakan trafik, tanpa terasa seperti ingin melonjak ke hadapan walaupun pada kelajuan di bawah 60k/j.

Selain itu, pelananya amat selesa bagi kedua-dua penunggang dan pembonceng.

Kesimpulan

Jadi apa perlunya sebuah enjin cas lampau pada sebuah motosikal sport tourer? Tidak syak lagi mereka yang menggemari motosikal (atau kereta, kapal terbang, bot, dan sebagainya), kadang kala, pasti suka akan deruan kelajuan. Sama ada itu atau pun kepuasan dan rasa megah memiliki motosikal sport tourer terpantas. Sukar untuk menterjemahkan perasaan ini dalam tulisan, ianya sesuatu terpendam dalam sanubari. Tetapi, penulis yakin yang anda pasti akan jatuh cinta dengan kuasa, pemecutan, pengendalian dan reka bentuk motosikal ini apabila anda berpeluang untuk menunggangnya.

Penulis bagaimana pun ada beberapa perkara yang mahu disebutkan di sini.

Pertama adalah haba yang dijana enjinnya itu boleh dirasai pada tulang keting kaki kanan penunggang. Sewaktu saya mengambil motosikal ini, saya memakai kasut sneaker (yang mana tidak penulis galakkan) dan sumpah habanya bagaikan telah membakar bulu-bulu kaki penulis! Jadi, ingatlah, anda perlu sentiasa mengenakan kasut but ketika menunggang motosikal ini.

Keduanya, bonggol-bonggol yang tajam pada jalan raya di negara kita ini amat dirasai. Bagaimana pun, motosikal ini terasa lebih baik pada kelajuan tinggi, bermakna suspensinya ditala untuk penunggangan kelajuan tinggi. Suspensi separa aktif elektronik pada varian H2 SX SE+ mungkin dapat mengendalikan masalah ini dengan lebih baik.

Walau apa pun rungutannya, motosikal Kawasaki Ninja H2 SX SE ini adalah salah sebuah motosikal yang paling mengasyikkan pernah kami tunggang. Masakan tidak, setelah menunggang motosikal ini, menunggang motosikal lain terasa agak perlahan, bagaikan mengambil masa bertahun lamanya untuk sampai ke destinasinya. Terbuktilah wujudnya dilasi masa seperti mana teori Albert Einstein.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.