- Alvaro Bautista dan Ducati telah menyapu bersih perlumbaan pusingan pertama kejohanan WorldSBK 2019 di Phillip Island, Australia.
- Bautista memenangi perlumbaan pecut Superpole dan Perlumbaan 2.
- Bautista sekali lagi berjaya menjarakkan diri dari kelompok pesaing yang bertarung sesama mereka.
Alvaro Bautista bersama dengan jentera Ducati Panigale V4 R merupakan penunggang kedua terpantas di belakang Jonathan Rea yang mengemudi jentera Kawasaki Ninja ZX-10RR sewaktu ujian pra musim WorldSBK 2019 di Portimao, Portugal kurang sebulan yang lalu.
Namun Bautista telah bertindak balas sewaktu ujian pra musim terakhir di Phillip Island, Australia dengan menjadi penunggang terpantas sewaktu kedua-dua sesi. Rea kemudiannya membalas semula dengan menduduki petak pertama selepas sesi kelayakan dan merupakan penunggang terpantas sewaktu sesi pemanas badan di sebelah pagi.
Ramai yang telah membayangkan sebuah pertarungan sengit antara Bautista dan Rea pada hujung minggu ini. Namun sebaliknya yang telah terjadi, di mana penunggang kelahiran Sepanyol itu dengan mudah meninggalkan keseluruhan pesaingnya jauh di belakang.
Bautista telah memenangi Perlumbaan 1 semalam dengan jarak masa 14.9 saat, menggembirakan pasukan dan para peminat Ducati di seluruh dunia.
Hari ini dia sekali lagi telah membawakan berita yang mengujakan dengan memenangi perlumbaam pecut Superpole sebelum menumpukan perhatian kepada Perlumbaan 2.
Gabungan Kawasaki, Rea dan Leon Haslam mendahului perlumbaan pada mulanya, sebelum Bautista memintas mereka pada pusingan kedua dan dari situ terus meninggalkan mereka. Pada satu ketika dia berjaya membuka jarak sebesar 18 saat, sebelum menamatkan perlumbaan dengan jurang masa sebanyak 12 saat.
Bermulalah parti Ducati untuk kali kedua pada hujung minggu ini!
Rea terpaksa berpuas hati dengan satu lagi penamat di tempat ke-dua setelah bertarung sengit sepanjang perlumbaan dengan teman sepasukannya, Haslam. Haslam bersungguh-sungguh mahu menebus kesilapan terbabas semalam selepas merampas tempat ke-dua dari Rea.
Tempat ke-empat menjadi milik Michael van der Mark yang mengemudi jentera pengilang PATA Yamaha selepas memintas penunggang yang memperolehi tempat ketiga semalam, Marco Melandri yang menunggang bagi pasukan GRT Yamaha. Melandri mengalami kemerosotan prestasi tayar belakang yang serius, yang telah menyebabkannya jatuh ke anak tangga ke-enam di belakang teman sepasukan van der Mark, Alex Lowes.
Chaz Davies telah mula menyesuaikan diri di atas Ducati Panigale V4 R dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-tujuh setelah bermula dari tempat ke-16.
Jentera baharu BMW S 1000 RR tunggangan Markus Reiterberger dan Tom Sykes masih perlu dibangunkan lagi. Pasangan tersebut telah menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dan ke-13.
Pusingan kedua kejohanan WorldSBK 2019 akan berlangsung di Buriram, Thailand, pada 15 hingga 17 Mac.