WorldSBK Phillip Island 2019: Bautista Dan Ducati Tunjuk Taring Dalam Perlumbaan Sulung Mereka

Alvaro Bautista di atas motosikal Ducati Panigale V4 R – Sumber imej: Eurosport
  • Alvaro Bautista dan jentera Ducati Panigale V4 R baharu telah mendominasi lapangan WorldSBK 2019 dalam perlumbaan pembukaan di Phillip Island, Australia.
  • Dia berjaya menamatkan perlumbaan dengan perbezaan masa sebanyak 14.9 saat di hadapan Jonathan Rea.
  • Terdapat empat pengeluar berbeza mengisi lima tempat teratas perlumbaan ini.

Ianya satu permulaan yang cukup memberangsangkan buat Alvaro Bautista dan jentera Ducati Panigale V4 R di mana mereka telah memenangi Perlumbaan 1 dalam pusingan pembukaan kejohanan Pirelli WorldSBK 2019 di Phillip Island, Australia.

Bautista dan Ducati telah meluru pantas menduduki tempat pertama pada selekoh 3 di pusingan pertama. Catatan masanya cukup pantas sekali sehinggakan Bautista telah membuka jurang sejauh 8 saat di hadapan menjelang pertengahan perlumbaan. Dia akhirnya telah melintasi garisan penamat dengan jurang masa 14.9 saat di hadapan penunggang di tempat kedua.

Alvaro Bautista merupakan penunggang rookie pertama yang memenangi perlumbaan WorldSBK dalam kemunculan pertamanya sejak Max Biaggi pada tahun 2007.

Dengan Bautista berada nun jauh di hadapan, para pesaingnya terpaksa bertarung sesama mereka. Berbanding tahun-tahun sebelum ini di mana juara dunia empat kali Jonathan Rea (Kawasaki Racing Team) dengan mudah mendominasi pesaingnya, Rea telah berdepan dengan cabaran sengit daripada para pesaing yang lain pada kali ini. Teman sepasukannya yang baharu, Leon Haslam, ternyata pencabar terdekatnya, diikuti oleh Alex Lowes (PATA Yamaha WorldSBK Team).

Haslam berjaya memintas Rea namun malangnya telah terbabas. Dia berjaya mengemudi semula jenteranya dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-15.

Jauh di belakang, Tom Sykes (BMW Motorrad WorldSBK Team) bersaing sengit dengan Toprak Razgatlioglu yang menunggang bagi pasukan Turkish Puccetti Racing Kawasaki. Motosikal Sykes jelas kelihatan sukar untuk menyaingi jentera tunggangan Toprak di haluan lurus.

Marco Melandri (GRT Yamaha WorldSBK) juga seorang lagi penunggang yang telah beraksi cemerlang. Dia berjaya meloloskan diri dari kelompok tengah penunggang, bermula dengan memintas Michael van der Mark untuk menduduki tempat ke-enam, sebelum mengejar Sykes, Razgatlioglu, dan Lowes yang menduduki tempat ke-tiga. Melandri berjaya memperoleh tempat podium terakhir, meninggalkan Lowes di tempat ke-empat.

Michael van der Mark berjaya menduduki tempat ke-lima, manakala Razgatlioglu berjaya mengekang cabaran Sykes bagi menduduki tempat ke-enam.

Kisah utama hari ini sudah semestinya perlumbaan sulung yang memberangsangkan buat Bautista dan jentera Panigale V4 R. Teman sepasukannya, Chaz Davies masih sedang menyesuaikan diri dengan motosikal tersebut dan telah menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.

Keputusan ini bermakna terdapat empat buah pengilang yang berbeza yang menduduki lima tempat teratas, termasuklah sebuah pasukan persendirian (pasukan Melandri, GRT Yamaha).

Perlumbaan 2 dan perlumbaan pecut baharu akan diadakan esok (Ahad, 24 Januari 2019).

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]