Tahukah Anda Akan Kewujudan Motosikal Berkapasiti Kecil Harley-Davidson?

Sumber imej: 2stroke.nl
  • Harley-Davidson mungkin lebih dikenali kerana motosikal cruiser berkapasiti besar V-Twin mereka, tetapi, mereka juga pernah menghasilkan motosikal berkapasiti kecil.
  • Motosikal berkapasiti kecil ini adalah hasil daripada pembelian syarikat Aermacchi oleh Harley-Davidson.
  • Ada kemungkinan yang Harley-Davidson akan menawarkan motosikal berkapasiti kecil pada masa yang akan datang.

Sebut sahaja nama Harley-Davidson dan imej pertama yang terpacul di minda anda sudah pasti motosikal cruiser berkapasiti tinggi yang bersaiz besar, yang semestinya menarik perhatian ramai dengan deruman enjinnya yang tersendiri itu.

Tetapi, tahukah anda bahawa Harley-Davidson pernah menghasilkan motosikal berkapasiti kecil dalam sejarah melebihi seratus tahunnya itu? Ya, benar. Ada yang menjadi, ada yang kelihatan janggal, namun kini, semua motosikal tersebut hanya tinggal kenangan.

Bagaimana pun, ada khabar angin mengatakan bahawa “The Motor Company” ini akan mula mengeluarkan semula motosikal berkapasiti kecil. Akhir-akhir ini, demografik pembeli motosikal lebih gemar kepada motosikal yang lebih kecil, murah dan mudah ditunggangi, jadi, mungkin ada kebenarannya pada khabar angin ini.

Mari kita lihat beberapa buah motosikal yang berkenaan.

Harley-Davidson S-125 1948

Sumber imej: Dream Machines

Bukan semua mampu mengendali dan memiliki sebuah motosikal Panhandle, jadi Harley-Davidson memutuskan untuk menghasilkan sebuah motosikal yang lebih mampu milik. Model S-125 ini meniru motosikal dua lejang DKW RT125 1938. Harley tidak mencuri reka bentuk DKW ini, tetapi, ianya telah diberikan kepada Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada pampasan perang Jerman.

Dan dengan itu, motosikal ini boleh dilihat di merata-merata negara dengan nama yang berbeza. Di Great Britain dikenali sebagai BSA Bantam, Minsk di USSR, dan Yamaha Ya-1 di Jepun. Ianya telah dihasilkan di merata-rata negara, termasuklah di Poland dan Itali.

Harley-Davidson Topper 1958

Sumber imej: yesterdays.nl

Model Topper adalah motosikal DKW yang dijenamakan semula. Ia dijana oleh enjin dua lejang sejukan udara, 165cc, yang perlu dihidupkan dengan menarik seutas tali pintal, seperti mana anda menghidupkan mesin pemotong rumput. Dijual hingga tahun 1965, generasi pertama motosikal ini menggunakan CVT “Scootaway Drive”. Bagaimana pun, tali sawatnya terdedah kepada kotoran dan bahan cemar yang lain, menyebabkannya untuk sering tergelincir. Jadi, model 1961 yang dikemaskini didatangkan dengan pacuan akhir yang tertutup.

Harley-Davidson Sprint 250 1961

Sumber imej: Pinterest

Harley membeli syarikat Itali bergelar Aeronautica Macchi, lebih dikenali sebagai Aermacchi. Hasil pemerolehan ini adalah penghasilan pelbagai motosikal ringan. Motosikal ini cukup menyeronokkan menurut penggemar motosikal klasik. Namun peminat Harley tidak menyukainya.

Harley-Davidson Bobcat 1966

Sumber imej: Ride Apart

Model Bobcat merupakan pengganti buat motosikal S-125. Ia memiliki ciri pelana, tangki, dan dapra belakang tercantum yang cukup menarik sekali. Harley tidak menghasilkan banyak motosikal Bobcat ini tetapi reka bentuknya telah mempengaruhi model Low Rider ‘boattail’, XLCR Sportster, Triumph X75 Hurricane, dan motosikal keluaran Sepanyol, Bultacos dan Ossas.

Snowmobile Harley-Davidson 1971

Sumber imej: oldmotodude.blogspot

Benar, ini bukannya sebuah motosikal, namun, Harley tetap sebuah pengeluar motosikal. Konglomerat American Machine and Foundry Corporation (AMF) merupakan pemilik jenama Harley, dan dengan itu Aermacchi pada ketika itu. Selain kepesatan pengeluaran motosikal mini, tahun 70-an juga turut dibanjiri dengan snowmobile. Ianya bermula dengan enjin dua lejang 398cc, sebelum dipertingkatkan menjadi 433c. Hampir 10,000 unit telah dihasilkan sebelum pengilangannya dihentikan pada tahun 1975.

Harley-Davidson Shortster 1973

Sumber imej: 2stroke.nl

Tidak, kami tidak tersilap tulis, betullah apa yang anda baca itu – Shortster. Ianya tawaran “The Motor Company” tersebut bagi memanfaatkan kegilaan penggemar motosikal terhadap motosikal mini pada waktu itu (yang dipopularkan oleh Honda Monkey), selain memperkenalkan jenama berkenaan kepada kanak-kanak. Rancangan Harley itu gagal. Orang ramai lebih gemar dengan model Monkey yang lebih murah dan lebih boleh diharap.

Harley-Davidson/Aermacchi RR250 Grand Prix Racer 1974

Sumber imej: raresportbikesforsale.com

Juara Dunia Grand Prix empat kali, Walter Villa telah bekerjasama dengan Aermacchi bagi membangunkan jentera dua silinder dua lejang 250cc ini. Dia berjaya mengalahkan Yamaha dalam GP Itali di Monza pada tahun 1974 dan 1975.

Harley-Davidson SS350 1975

Model SS350 ini adalah sebuah motosikal satu silinder, dua lejang, yang terakhir hasil kerjasama Harley-Aermacchi. Pelibatan Harley dalam pasaran motosikal ringan juga sudah sampai ke penghujungnya, setelah ditewaskan oleh pengeluar-pengeluar dari Jepun.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply