MotoGP 2019: Pelancaran Pasukan Red Bull KTM Factory Racing Dan Red Bull KTM Tech 3 Racing

  • KTM telah melancarkan ke semua pasukan Moto3, Moto2, dan MotoGP mereka bagi musim 2019.
  • Mereka akan tampil dengan dua buah pasukan dalam MotoGP, di mana kedua-dua pasukan ini akan menggunakan jentera yang sama.
  • Pasukan-pasukan ini adalah Red Bull KTM Factory Racing dan Red Bull KTM Tech 3 Racing.

KTM telah melancarkan pasukan MotoGP mereka malam semalam. Pasukan-pasukan ini dikenali sebagai Red Bull KTM Factory Racing dan Red Bull KTM Tech 3 Racing.

Acara “all-in” ini turut menampilkan pasukan, jentera, dan para penunggang KTM dari kelas Moto3 dan Moto2. Selain itu, KTM akan diwakili oleh dua buah pasukan yang akan menggunakan jentera pengilang.

Di satu sudut adalah pasukan Red Bull KTM Factory Racing, bersama para penunggangnya Pol Espargaro dan Johan Zarco. Jentera RC16 pasukan ini akan menggunakan kemasan grafik Red Bull KTM yang tradisional.

Di sebelah yang berikutnya adalah pasukan Red Bull KTM Tech 3 Racing, dibarisi oleh penunggang negara, Hafizh Syahrin, dan juga Miguel Oliveira. Jentera KTM RC16 mereka telah menggunakan kemasan grafik berwarna jingga, biru, dan perak yang baharu. Hafizh telah menjanjikan kemunculan model KTM RC390 edisi khas di Malaysia dengan kemasan baharu ini sewaktu sesi sidang akhbar dan bertemu peminat yang istimewa yang berlangsung ketika Ujian Pra Musim Sepang.

Kedua-dua pasukan ini akan mempertaruhkan jentera pengilang KTM RC16, di mana pengilangnya tidak sabar untuk mengutip dua kali lebih banyak data dan memendekkan masa bagi membangunkan jentera berkenaan. Walaupun ia masih perlu melalui lebih banyak pembangunan, seperti mana yang telah diterangkan oleh Zarco, pengeluar motosikal terbesar motosikal dari Eropah itu ternyata gagal menyembunyikan keterujaan mereka.

Tambahan pula, keazaman dan semangat KTM semakin menjulang ke langit apabila Pol Espargaro berjaya mengemudi jentera berkenaan menduduki podium buat kali pertamanya pada musim lalu di Valencia. Selain itu, kejayaan mengekalkan perkhidmatan penunggang uji veteran KTM, Mika Kallio, dan mendapatkan khidmat Dani Pedrosa sebagai penunggang uji baharu akan memastikan pembangunannya bergerak pada tahap yang tinggi. Malangnya, Pedrosa telah mengalami kecederaan patah tulang selangkanya dan perlu berehat selama tiga bulan lagi. Bagaimana pun, KTM telah mendapat kebenaran untuk menjalankan ujian dan pembangunan di bawah undang-undang MotoGP. Menggunakan sepenuhnya manfaat ini, KTM telah membawa beberapa buah enjin dengan spesifikasi yang berbeza ke Sepang.

Jentera baharu ini akan mula beraksi atas litar pada 20 Februari 2019. Buat sementara waktu ini, mari kita nikmati gambar-gambar jentera RC16 yang akan digunakan oleh kedua-dua pasukan.

Sumber imej: KTM dan MotoGP.com

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]