Jentera Perlumbaan Moto2 MV Agusta F2 Diperkenalkan

  • Jentera perlumbaan Moto2 MV Agusta F2 telah diperkenalkan semalam.
  • Ianya akan menggunakan casis MV Agusta bersama dengan enjin Moto2 Triumph.
  • Penunggangnya terdiri daripada Stefano Manzi dan Dominique Aegerter, setelah pemecatan Romano Fenati.

Pasukan Forward Racing telah memperkenalkan jentera perlumbaan Moto2 mereka, MV Agusta F2.

Ia menandakan kemunculan semula jenama dari Itali selepas 42 tahun tidak menyertai perlumbaan GP. Forward Racing telah memiliki penaja utama baharu dan dengan itu telah menukar skema warna dari hitam ke merah/putih dan pasukan dengan secara rasminya dikenali sebagai MV Agusta Idea Lavoro Forward Racing.

Model F2 ini bercirikan kerangka keluli trellis berwarna merah MV Agusta dicantum kepada sebuah lengan ayun aluminium. Suspensinya dibekalkan oleh Öhlins manakala enjinnya adalah enjin tiga silinder 765cc Triumph baharu.

Penunggang pasukan berkenaan, Stefano Manzi dan Dominique Aegerter telah memperkenalkan jentera bersama dengan jentera pemenang kejohanan empat silinder 500cc MV Agusta milik Giacomo Agostini.

Pasukan berkenaan pada mulanya telah menandatangani perjanjian dengan Romano Fenati sebagai penunggang mereka untuk tahun ini. Bagaimana pun, Fenati telah menarik tuil brek hadapan Manzi di Misano setelah bersaing sengit di atas litar. Dia kemudiannya dengan serta merta dipecat oleh pasukan Moto2nya itu dan diharamkan untuk keseluruhan musim. Ketua Pegawai Eksekutif MV Agusta, Giovanni Castiglioni, pula telah membuat pengumuman yang dia tidak akan membenarkan Fenati untuk menunggang motosikalnya.

Pasukan ini akan menyertai para pesaing Moto2 yang lain dalam ujian pra musim pertama di Litar Jerez di Sepanyol bermula 20 Februari dan di ujian terakhir di Losail, Qatar bermula dari 1 Mac. MotoGP musim 2019 akan bermula pada 10 Mac 2019.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]