Hafizh Syahrin sedia menyahut cabaran MotoGP 2019 bersama KTM

Hafizh Syahrin bersama KTM telah bersedia untuk menyahut cabaran MotoGP 2019. Dengan sesi ‘winter test’ yang akan bermula tidak lama lagi, ia merupakan satu langkah bersejarah bukan sahaja untuk pelumba MotoGP pertama dari Malaysia malah untuk KTM juga di dalam musim ketiga mereka berlumba di kelas tertinggi.

Gandingan pasukan Tech 3 bersama KTM buat pertama kali juga memberi cabaran yang baru bagi ‘El Pescao’ dimana beliau akan berlumba menggunakan jentera dari syarikat pengeluar motosikal Austria iaitu KTM RC16. Walaupun ini merupakan tahun ketiga KTM RC16 berlumba di kategori MotoGP, mereka telah berjaya mendapat hasil podium pertama di perlumbaan terakhir musim lepas dengan pelumba utama mereka dari pasukan Red Bull KTM Factory Racing.

Musim 2019 semestinya akan menjadi lebih menarik dengan empat jentera KTM RC16 berlumba bersama pasukan Red Bul KTM Factory Racing bersama Pol Espargaro dan Johann Zarco serta Red Bull KTM Tech 3 dengan Hafizh Syahrin dan Miguel Oliveira. Setakat ini, Hafizh Syahrin telah pun mencuba jentera KTM sebanyak 2 kali dan bersemangat untuk kembali beraksi di Sepang di ‘winter test’.

Menurut Hafizh Syahrin sendiri, “Saya berasa sangat bangga menjadi pelumba Malaysia pertama di MotoGP. Ini memberikan motivasi yang besar bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada golongan muda Malaysia, yang saya harap akan menggantikan saya satu hari nanti. Sekarang kita memulakan bab baru. Saya tidak mempunyai pengalaman dengan KTM sebelum ini tetapi dari apa yang saya lihat semasa ujian pertama, jentera itu benar-benar baik.”

“Di Valencia dan Jerez, saya cuba mengenali mesin itu. Kami tahu bahawa kami perlu mencuba dan memahami banyak aspek dengan lebih baik langkah demi langkah. Saya harap kami dapat memperbaiki lagi semasa ujian seterusnya di Sepang. Krew di sekeliling saya masih sama tetapi pasukan telah berkembang dari segi orang dan sokongan, terutama dari KTM. Matlamat saya untuk tahun ini adalah untuk cuba memperbaiki diri dari musim ‘rookie’ saya dan belajar dari kesilapan. Sudah pasti, 2019 akan menjadi sukar tetapi kami akan mencuba yang terbaik dan memberikan segala-galanya yang sentiasa lebih daripada 100 peratus. Matlamat saya ialah membawa KTM ke puncak. Saya tidak sabar untuk memulakan musim ini.”

Saksikan Hafizh Syahrin dan pelumba-pelumba MotoGP lain di Winter Test Sepang dari 6 hingga 8 Februari 2019. Persoalannya sekarang, mampukah KTM memperbaiki posisi mereka di musim 2019 dengan adanya empat jentera KTM RC16? Kami positif “Bo55ku” Hafizh Syahrin akan memberi yang terbaik dengan jentera baharunya musim ini!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.