Sesi Ramah Mesra Istimewa Buat Kelab Pemilik Desmo Malaysia Di Ujian Pra Musim Sepang

  • Kelab Pemilik Desmo Malaysia (DOCM) telah berpeluang menyertai satu sesi ramah mesra istimewa ketika Ujian Pra Musim Sepang baru-baru ini.
  • Mereka telah berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat jentera Desmosedici GP19 baharu dan bertemu dengan para penunggang pasukan Mission Winnow Ducati.
  • Kehadiran mereka menjadi bertambah istimewa apabila para penunggang Ducati berjaya merekodkan catatan masa terpantas di litar ini.

Ahli Kelab Pemilik Desmo Malaysia (Desmo Owners Club Malaysia – DOCM) telah berpeluang untuk menyertai satu sesi ramah mesra yang istimewa ketika Ujian Pra Musim MotoGP 2019 Sepang.

Sesi ramah mesra istimewa itu telah dianjurkan oleh Ducati Malaysia bersama dengan pasukan Mission Winnow Ducati. Ianya telah diadakan pada hari terakhir Ujian Pra Musim Sepang.

Para pemilik Ducati berkenaan telah diberikan peluang eksklusif bagi melihat sendiri operasi perlumbaan pasukan berkenaan sewaktu mereka sedang mengadakan persediaan bagi menghadapi musim MotoGP yang baharu. Mereka juga turut dibawa melawat pit bagi menyaksikan jentera Desmosedici GP19 yang baharu dengan lebih dekat lagi.

Para penunggang pasukan Ducati, Andrea Dovizioso dan Danilo Petrucci kemudiannya hadir untuk bertemu dengan ahli DOCM sewaktu masa rehat mereka. Ahli kelab yang bertuah telah dipilih bagi menghadiri sesi autograf dengan penunggang dan ahli pasukan.

Ianya satu hari yang cukup menyeronokkan dan membanggakan buat para pemilik motosikal buatan Itali itu apabila Danilo Petrucci berjaya merekodkan catatan masa terpantas. Catatan masanya (1:58.239) itu adalah 0.6 saat lebih pantas berbanding rekod terdahulu (1:58.830) yang dicatatkan oleh Jorge Lorenzo pada ujian tahun lalu. Rekod catatan masa Petrucci ini bermakna ianya merupakan motosikal terpantas yang pernah menyempurnakan pusingan di Litar Antarabangsa Sepang ini.

Selain Petrucci, penunggang jentera Ducati yang lain turut membolot 4 tempat teratas pada hari terakhir dan pada masa yang sama, turut memecahkan rekod yang lama.

Satu lagi tarikan yang turut diperagakan pada sesi ini adalah model Panigale V4 S. Motosikal ini menggunapakai kebanyakan teknologi yang ada pada jentera Ducati MotoGP Desmosedici.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.