Dainese Menangi Kes Saman Beg Udara Ke Atas Alpinestars Di Jerman

Ves D-Air rekaan Dainese – Sumber imej: Dainese
  • Sebuah mahkamah di Jerman telah memihak kepada Dainese dalam kes saman pencabulan paten menentang Alpinestars.
  • Mereka pada mulanya telah menyaman Alpinestars pada tahun 2015 kerana menggunakan sebahagian daripada ves D-Air Dainese dalam rekaan ves Tech-Air Alpinestars tanpa bayaran untuk paten berkenaan.
  • Mereka juga turut memfailkan litigasi di Itali, UK, dan Perancis.

Mahkamah Rayuan Munich telah membuat keputusan memihak kepada Dainese dalam saman pencabulan paten beg udara mereka menentang Alpinestars (A-stars).

Kes ini telah berlanjutan sejak tahun 2015. Sebuah mahkamah Jerman mendapati Alpinestars telah melanggar hak paten berkenaan pada tahun 2017. A-Stars telah membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan Munich di mana mereka sekali lagi telah gagal. Tindakan mereka yang berikutnya dan yang terakhir adalah untuk merujuk kes ini ke Mahkamah Tinggi Persekutuan Jerman.

Dainese telah menyaman A-Stars pada tahun 2015 setelah mendapati mereka meniru rekaan bahagian penting pada ves D-Air. Bahagian berkenaan kemudiannya telah digunakan dalam ves beg udara Tech-Air milik A-Stars, tanpa membayar Dainese hak perlesenan.

Ves Tech-Air rekaan Alpinestars – Sumber imej: Alpinestars

A-Stars mungkin akan berhadapan dengan masalah yang besar, bergantung kepada keputusan rayuan Mahkamah Tinggi Jerman. Dainese bukan sahaja telah memfailkan litigasi di Jerman. Mereka turut menyaman A-Stars di Itali, United Kingdom, dan Perancis. Kes saman ini akan memberi kesan ke atas saman yang dikemukakan di negara-negara berkenaan sekiranya mereka kalah di Mahkamah Tinggi Jerman.

Kekeliruan ini bermula pada tahun 2015 di mana Dainese telah memperkenalkan teknologi D-Air sebagai platform terbuka atas rasa tanggungjawab untuk keselamatan penunggang. Ini bermakna pengeluar kelengkapan menunggang yang lain boleh menggunakan teknologi berkenaan dalam produk masing-masing. Namun, ianya tidak bermakna mereka tidak perlu membayar Dainese bagi membolehkan mereka menggunakan teknologi yang dipatenkan ini. Malang sekali, itulah yang telah dilakukan oleh Alpinestars.

Jadi, apakah yang akan terjadi sekarang? Sekiranya A-stars gagal dalam rayuan terakhir mereka, penunggang di Jerman mungkin tidak dapat menggunakan lagi ves Tech-Air mereka. Tiada lagi sebarang berita mengenai negara-negara yang lain buat masa ini. Kami akan terus menyampaikan perkembangan terkini mengenainya sebaik sahaja kami mengetahuinya

Sumber: Motorcyle-USA

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]