Ketua Pegawai Eksekutif Ducati: Ducati Semakin Hampir Pada Pengilangan Model Elektrik

Ducati Zero concept oleh Suraj Tiwari

Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali mengisyaratkan bahawa pengeluaran motosikal Ducati yang pertama sudah hampir tiba.
Ianya sebahagian daripada rancangan Kumpulan VW untuk bertukar ke arah kenderaan elektrik menjelang 2030.
Kebanyakan negara akan mengharamkan pengeluaran kenderaan petrol dan diesel dalam tempoh satu atau dua dekad.

Ducati adalah salah sebuah pengeluar yang masih belum kita dengar akan rancangan mereka untuk menghasilkan motosikal elektrik. Tetapi perkara tersebut akan berubah, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali.

Volkswagen (pemilik Ducati) telah memperkenalkan inisiatif “Roadmap E” kira-kira enam bulan yang lalu. Pelan itu adalah untuk menghasilkan rangkaian penuh kenderaan elektrik bagi keseluruhan kumpulan VW menjelang tahun 2030.

Selepas itu, Pengarah Urusan Ducati Barat Eropah, Edouard Lotthé mengatakan bahawa Ducati sedang membangunkan sebuah model elektrik, di samping sebuah skuter. Kini, Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali telah menambah komennya mengenai masa hadapan kenderaan cekap tenaga Ducati.

Bercakap dengan para pelajar Universiti Bologna, Domenicali berkata, “masa depan (motosikal) adalah elektrik”, dan pengeluaran kenderaan cekap tenaga pertama sudah hampir tiba.

Adakah motosikal elektrik Ducati akan kelihatan seperti motosikal konsep hasil ciptaan Suraj Tiwari?

Ducati Zero concept oleh Suraj Tiwari

Jika benar, kita mungkin akan menyaksikan kenderaan cekap tenaga Ducati pertama menjelang 2020 atau 2021. Beberapa buah negara akan telah memulakan inisiatif kenderaan elektrik mereka pada masa itu.

Bagaimana pun, kami menjangkakan yang Ducati akan menawarkan motosikal elektrik baharu mereka seiringan dengan motosikal janaan petrol buat beberapa tahun sehinggalah peraturan kenderaan cekap tenaga sepenuhnya berkuatkuasa pada tahun 2030.

Ini bermakna kita akan masih dapat menikmati Panigale buat sementara waktu.

Sementara itu, kebanyakan negara di dunia akan beralih kepada kenderaan elektrik seawal satu dekad. Pelan ini menyeru kepada pengharaman pengeluaran kenderaan diesel petrol baharu, di samping ditukar secara berperingkat dalam masa beberapa tahun.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Selain daripada stesen pengecas yang dipasang sendiri yang dalam jumlah terhad, apakah rancangan pihak kerajaan mengenai kenderaan elektrik? Selain daripada ‘mengkaji’ saranan menghadkan motosikal kapchai pada kelajuan 70km/j dan kekal di laluan kiri? (Mereka kini buat-buat lupa tentang apa yang dikatakan mengenai had laju 70km/j dan mengkaji saranan ‘kekal di laluan kiri’.)

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]