Penunggang Kelainan Upaya Nicola Dutto Tersingkir dari Rali Dakar

  • Sewaktu para peserta mulai melintasi garisan penamat Rali Dakar, kami tercari-cari akan nama Nicola Dutto.
  • Rupa-rupanya dia telah disingkirkan pada hari ke-empat.
  • Penganjur gagal memberikan penerangan yang jelas mengenai keputusan mereka itu.

Dengan berakhirnya Rali Dakar 2019, kami tercari-cari akan satu nama, namun tidak menemuinya. Penunggang berkenaan adalah Nicola Dutto, penunggang paraplegik pertama yang menyertai rali ini. Rupa-rupanya, dia telah disingkirkan!

Seperti mana yang telah kami laporkan sebelum ini, Nicola Dutto bergantung kepada sepasukan tiga penunggang bagi membantunya sewaktu rali selama 10 hari yang mencabar itu. Seorang penunggang menunggang di hadapan bagi memilih laluan dan dua lagi sebagai pembantu apabila Dutto perlu berhenti atau terjatuh dari motosikal.

Nicola Dutto: Penunggang Paraplegik Pertama Dalam Rali Dakar

Pada hari ke-empat, motosikal pembantunya, Julian Villarubia mula kehilangan kuasa. Pasukan menghabiskan masa tiga jam untuk membaikinya, sebelum ianya mengalami kerosakan beberapa minit yang kemudian. Pasukan berkenaan telah membincangkan situasi mereka dan memutuskan untuk meninggalkan Villarubia dan terus menunggang.

Malangnya, motosikal Victor Rivera pula mula mengalami masalah. Pasukan berkenaan dengan bersusah-payah menuju tempat pemeriksaan yang seterusnya. Mereka memaklumkan kepada para pegawai bahawa Julian dan motosikalnya perlu diselamatkan. Selain itu, mereka juga bertanya sama ada mereka boleh menunggang menuju ke kem malam itu di atas lebuh raya, memandangkan Dutto hanya mempunyai seorang pembantu. Pasukan tersebut bersedia menerima hukuman tambahan masa kerana tidak menyempurnakan haluan yang ditetapkan.

Panggilan mulai dibuat di antara para pegawai bagi mendapatkan kepastian dan akhirnya Dutto dan para penunggang bantuannya yang masih ada dibenarkan untuk meneruskan perjalanan mereka di atas lebuh raya, dengan syarat mereka bersetuju dikenakan hukuman tambahan masa.

“Kami mengikuti arahan marsyal,” ujar Nicola dalam sebuah video yang dimuatnaik oleh Vicair, salah satu daripada penajanya dan pembuat pelana khas, “dan apabila kami tiba di ‘bivouac’, pengarah perlumbaan memaklumkan yang kami telah tersingkir daripada perlumbaan kerana kami perlu mengikut keseluruhan haluan yang ditetapkan.”

Menambahkan lagi kedukaan mereka, jawatankuasa penganjur enggan menerangkan sebab penyingkiran. Sebaliknya, mereka mengatakan bahawa Dutto dan pasukannya gagal memulakan perlumbaan pada hari berkenaan.

Berita yang mengecewakan ini telah mencetuskan kritikan yang bertali arus terhadap pengarah penganjuran, Etienne Lavigne.

Tidak syak lagi keputusan ini telah menghancurkan perasaan Dutto dan pasukannya kerana mereka telah menghabiskan begitu banyak masa dan wang bagi menyertai rali ini. Ramai peminat penunggang berkenaan turut sedih mendengar berita ini.

Kami harap yang pasukan berkenaan dapat melupakan insiden malang ini dan kembali lebih kuat bagi edisi tahun 2020.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.