KMSB Anjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2019

  • Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) telah menganjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki tahunan mereka.
  • Diadakan di tol plaza Sungai Besi, kempen ini memasuki tahun ke-empatnya dan berfokus kepada mempertingkatkan keselamatan jalan raya secara keseluruhan bagi para penunggang motosikal.
  • Pemeriksaan keselamatan motosikal 16 bahagian percuma telah dijalankan buat semua motosikal tanpa mengira model mahu pun jenama.

Bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina 2019, Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) telah menganjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2019. Diadakan di plaza tol Sungai Besi (arah selatan), kempen ini memasuki tahun ke-empatnya, yang mana ianya anjuran bersama dengan Persatuan Penjual Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) bagi mempromosikan penunggangan yang selamat.

Dilancarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), Dato’ Rosli Bin Isa, program ini bertumpukan kepada mempromosikan keselamatan jalan raya secara keseluruhan buat para penunggang motosikal yang telah berpeluang menghadiri acara ini. Kempen keselamatan jalan raya ini juga telah disokong oleh syarikat-syarikat serta agensi-agensi yang lain seperti JPJ, KKR, PLUS, PDRM, JKJR, Tokio Marine Insurans (Malaysia) Berhad, AEON Credit Service, KHI Helmet, Bridgestone, dan lain-lain.

Tarikan utama acara ini adalah pemeriksaan keselamatan motosikal 16 bahagian percuma untuk ke semua motosikal tanpa mengira model mahu pun jenama. Pemeriksaan ini telah dilakukan oleh para juruteknik berpengalaman yang dibekalkan oleh Pusat Perkhidmatan Eksklusif Kawasaki (KESC) bagi memastikan yang ke semua jentera dalam keadaan yang baik. Mereka yang telah mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan ini turut ditawarkan ‘Kawasaki Genuine Oil’, di mana anda boleh membeli dua botol pada harga sebotol.

Anda memerlukan helmet baharu? Dengan sokongan KHI Helmet, para pengunjung boleh menukar helmet lama mereka dengan sebuah helmet yang baharu secara percuma! Peserta juga akan diberikan ves keselamatan kebolehlihatan tinggi bagi memastikan yang tahap keterlihatan penunggang yang tinggi di atas jalan raya tidak kira siang atau malam.

KMSB adalah antara salah sebuah pengeluar motosikal dalam negara yang telah melabur dengan banyak untuk keselamatan keseluruhan penunggang motosikal di tanah air kita. Selain daripada kempen keselamatan tahunan mereka ini yang telah berjalan dengan jayanya sejak empat tahun yang lalu, mereka juga turut memulakan Kursus Penunggangan Berhemah & Selamat Kawasaki sejak tahun lalu.

Usaha tanggungjawab sosial korporat mereka dalam menganjurkan acara-acara sebegini bertitik tolak pada fakta yang sekitar 62% kemalangan dalam negara melibatkan penunggang motosikal dan ini adalah usaha mereka bagi mengurangkan jumlah berkenaan. Dalam kebanyakan kes, kemalangan tersebut terjadi akibat kecuaian manusia namun sebagai penunggang motosikal, kita perlu memastikan yang kita telah mencuba sebaik mungkin bagi meningkatkan keselamatan keseluruhan jalan raya.

Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2019 akan berlangsung sehingga jam 6 petang hari ini jadi kunjungilah plaza tol Sungai Besi (arah selatan) bagi menikmati pemeriksaan keselamatan motosikal percuma dan pelbagai lagi tawaran menarik yang disediakan untuk anda!

Kawasaki Ninja ZX-10RR Dan ZX-6R 2019 Kini Di Malaysia! Dari RM79,900

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.