Kawasaki Ninja ZX-10RR Dan ZX-6R 2019 Kini Di Malaysia! Dari RM79,900

  • Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) dengan secara rasminya telah melancarkan model Kawasaki Ninja ZX-10RR dan Ninja ZX-6R 2019.
  • Pelancarannya telah diadakan di KLIMS 2018 bersama dengan pengenalan produk Kawasaki Genuine Oil.
  • Kedua-dua model ZX-10RR dan ZX-6R baharu telah ditetapkan pada harga RM159,900 dan RM79,900.

Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) dengan jayanya telah memberikan kejutan yang mengujakan pada awal hari ini dengan pelancaran model Kawasaki Ninja ZX-10RR dan Kawasaki Ninja ZX-6R 2019 serba baharu, bersempena dengan Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018.

Diadakan di MITEC Kuala Lumpur, kedua-dua buah model yang baharu sahaja dilancarkan secara global telah pun tiba di Malaysia bagi menakluki pasaran superbike di rantau ini. Kedua-dua model ZX-10RR dan ZX-6R telah dikemaskini secara menyeluruh dengan agihan kuasa serta pengendalian yang lebih hebat di atas jalan raya mahu pun litar.

Kawasaki Ninja ZX-10RR 201-9 – RM159,900

Jentera ini telah dibangunkan secara khusus untuk prestasi yang lebih hebat berdasarkan kepada jentera perlumbaan yang dikemudi oleh Jonathan Rea dan Kawasaki Racing Team (KRT) dalam kejohanan WorldSBK. Jentera pemenang berbilang kejuaraan ini telah memberikan Rea empat kemenangan kejohanan berturut-turut dalam kelas premier dan kini, 500 orang pemilik bertuah di seluruh dunia akan mampu merasai kehebatannya.

Dijana oleh enjin ‘inline-four’, 998cc yang cukup berkuasa, motosikal Kawasaki Ninja ZX-10RR 2019 ini menghasilkan 201hp, dengan prestasi keseluruhan yang lebih baik atas jasa bahagian titaniumnya yang baharu dan aci engkol yang direka semula, serta peningkatan pada lengkungan torknya, yang sebelum ini mendatar. Ini bermakna yang model ZX-10RR ini mampu menghasilkan lebih banyak kuasa dan pada masa yang sama, menawarkan tahap kebolehtunggangan yang lebih baik buat mereka yang inginkan jentera jitu yang muktamad.

Ciri mewahnya yang lain termasuklah KIBS (Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System), ABS, suspensi pautan belakang melintang, KLCM (Kawasaki Launch Control Mode), IMU (Inertial Measurement Unit), injap pendikit elektronik, KCMF (Kawasaki Cornering Management Function), S-KTRC (Sport-Kawasaki Traction Control), mod kuasa, tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP, dan bermacam-macam lagi.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, model Ninja ZX-10RR baharu ini adalah terhad pengeluarannya, hanya 500 unit sahaja untuk seluruh dunia dan KMSB menyasarkan untuk mendapatkan jumlah terbanyak bagi rantau Asia. Menurut Dato’ Jeffrey Lim Chee Sing, Pengarah dan Pengurus Besar KMSB, mereka merancang untuk membawa masuk ke pasaran Malaysia sekitar 10-20 unit sekiranya ianya berjalan lancar.

Kawasaki Ninja ZX-6R 2019 – RM79,900

Bagi mereka yang lebih mengemari sesuatu yang telah direka khusus untuk menguasai kategori Supersport, anda boleh memilih tawaran Kawasaki Ninja ZX-6R 2019 yang terkini. Motosikal Ninja 636cc ini telah diperkemaskini lagi untuk memberikannya julat tork rendah-ke-sederhana yang lebih kuat, di samping meningkatkan tahap kebolehgunaannya sebagai tunggangan harian.

Tarikan utama bagi model Kawasaki Ninja ZX-6R 2019 adalah:

  • Kawasaki Quick Shifter (KQS) sebagai kelengkapan standard.
  • Penggayaan baharu dengan lampu hadapan berganda LED dan lampu belakang LED.
  • Instrumentasi “gred tinggi”.
  • Penalaan enjin patuh Euro4.
  • Nisbah gear yang dioptimumkan bagi meningkatkan kuasa tahap rendah.

Bercakap mengenai kuasa, enjin ‘inline-four’ asas tersebut telah menjalani pengemaskinian kecil bagi memastikan yang jentera ini mematuhi peraturan piawaian emisi Euro4 yang ketat. Menghasilkan sejumlah 127hp pada 13,500rpm dan 70.8Nm tork maksimum apabila ia mencecah 11,000rpm, model ZX-6R ini menawarkan “prestasi yang lebih hebat di seluruh julat rpm sewaktu tunggangan ‘sport’, sama ada sewaktu mendaki jalan berbukit mahu pun di atas litar.”

Tarikan utama yang lain pada Ninja ZX-6R baharu ini termasuklah:

  • KIBS (Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System).
  • Kawasaki Traction Control (KTRC).
  • Pakej brek monbloc radial.
  • Tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22.
  • Showa Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP).
  • Klac bantu dan gelincir.

Bersempena dengan pelancaran dua buah motosikal superbike ini, KMSB juga turut mengambil peluang ini untuk melancarkan produk Kawasaki Geniune Oil serba baharu mereka dengan kerjasama teknikal baharu bersama dengan Idemitsu. Pengenalan produk Minyak Pelincir 4T Semi Sintetik dan Sintetik Penuh Kawasaki Motors Malaysia ini bertujuan bagi membekalkan kuasa maksimum dan perlindungan, di samping mengekalkan kos penyelenggaraan keseluruhan pada tahap yang rendah.

Menurut Encik Ahmad Faez bin Tan Sri Yahaya, Pengerusi Eksekutif KMSB, “Minyak Pelincir 4T Semi Sintetik adalah minyak pelincir motosikal sintetik berprestasi tinggi yang lebih baik, yang mana ianya diadun khusus untuk enjin berprestasi tinggi dan menawarkan perlindungan maksimum. Minyak Pelincir 4T Sintetik Penuh pula adalah minyak pelincir kualiti premium dan formulasi yang diadun khusus bagi memberikan prestasi enjin dan kuasa yang optimum.”

Kedua-dua minyak pelincir dari Kawasaki ini menawarkan tahap penggunaan minyak dan kawalan yang mengagumkan, penukaran gear yang berkualiti, dan tahap prestasi klac basah yang menakjubkan. Ia juga amat hebat dengan sifat aliran suhu rendah yang mana membantu mengurangkan kelusuhan keseluruhan enjin dan juga membantu sewaktu penghidupan enjin ketika suhu masih sejuk.

Minyak Pelincir Tulen 4T Semi Sintetik dan Sintetik Penuh 10W-40 SL JASO MA2 ini ditawarkan pada harga RM29.90 dan RM39.90 untuk botol satu liter. Untuk maklumat selanjutnya, sila layari www.kawasaki.com.my.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.