JPJ: Lebih Banyak Penguatkuasaan Diperlukan Untuk Tayar Celup

  • Lebih daripada 10,000 kemalangan jalan raya adalah akibat daripada penggunaan tayar celup.
  • JPJ akan bekerjasama dengan JKR dan SIRIM untuk menguatkuasakannya.
  • Kita sebagai penunggang motosikal perlulah sentiasa berwaspada dengan cebisan tayar celup di atas jalan raya pada setiap masa.

Salah satu perkara yang paling merbahaya buat kita para penunggang motosikal adalah terkena cebisan tayar lori yang telah terpisah dari badannya. Cebisan-cebisan ini selalunya datang dari tayar celup.

Bukannya sukar untuk menyebabkan sebuah motosikal itu hilang kawalan dan terlanggar kepingan getah yang keras sudah pasti akan menyebabkannya terbabas. Sekali pun kita tidak terjatuh, sudah pasti akan ada kerosakan yang ekstensif pada badan dan komponen motosikal.

Selain itu, rancangan televisyen “Mythbusters” telah pun menjalankan ujikaji dan mendapati kepingan tayar yang berterbangan pada kelajuan tinggi mampu memenggal kepala orang yang berada di belakangnya.

Pda hari Jumaat yang lalu, Menteri Kerja Raya Malaysia, Yang Berhormat Baru Bian, telah mengatakan bahawa lebih daripada 10,000 kemalangan jalan raya adalah akibat daripada tayar celup.

Pegawai JPJ sedang memeriksa tayar – Sumber imej: The Sun Daily

Apabila dihubungi oleh MyMetro, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shahruddin Khalid mengatakan bahawa jabatan berkenaan akan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan SIRIM.

Kerjasama ini akan menangani isu penguatkuasaan dan mengkaji semula kualiti tayar celup yang dijual di Malaysia, terutamanya di kalangan trak berat.

Beliau turut mengatakan bahawa tayar celup yang sedia ada mematuhi standard yang ditetapkan oleh SIRIM. Hanya SIRIM yang boleh menentukan sama ada tayar-tayar berkenaan memenuhi standard yang telah mereka tetapkan.

Datuk Seri Shahruddin mendakwa bahawa masalahnya timbul apabila pengusaha menggunakan tayar celup haram. Dan oleh kerana itu, pegawai perlu melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan kerana mereka arif dengan standard yang ditetapkan oleh organisasi mereka.

Sejujurnya, Malaysia bukanlah satu-satunya negara dengan masalah tayar celup yang berleluasa, tetapi, ianya berlaku di seluruh dunia.

Buat masa ini, kita semua sebagai penunggang motosikal perlulah senantiasa berwaspada pada setiap masa ketika menunggang. Selain itu, jarakkan diri anda daripada trak-trak yang bergerak laju di atas lebuh raya.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.