Harley-Davidson Meperagakan Motosikal Moped Dan Skuter Elektrik Konsep

  • Harley-Davidson telah menunjukkan minat mereka untuk menerajui segmen motosikal elektrik.
  • Moped dan skuter elektrik mereka kelihatan seperti lakaran konsep yang telah muncul pada tahun lalu.
  • Model-model ini masih dalam peringkat prototaip.

Selain daripada mengumumkan model LiveWire yang akan mula disediakan pada bulan Ogos 2019, Harley-Davidson juga turut memperkenalkan motosikal moped dan skuter elektrik konsep mereka.

Ingin kami ingatkan, kebanyakan negara hanya akan menghasilkan kenderaan elektrik dalam masa beberapa tahun yang akan datang.

Kedua-dua model ini tampak mirip dengan lakaran konsep yang telah dipersembahkan pada tahun lepas.

Moped Elektrik

Tampak lebih mirip seperti sebuah basikal ‘mountain bike’, moped Harley ini adalah gabungan antara sebuah basikal elektrik dan motosikal.

Reka bentuknya masih mengekalkan rupa paras warisan “The Motor Company” berkenaan. Beleklah ekornya yang diilhamkan daripada motosikal ‘flat-track’ serta ‘tangkinya’.

Baterinya mungkin sekali dari jenis 2 ke 3 kWh, mirip seperti yang dilengkapkan pada motosikal elektrik berpedal yang boleh anda jumpai di Jepun. Ia mampu memberikan masa penunggangan selama beberapa jam. Dengan kapasitinya yang kecil bermakna tempoh pengecasan yang lebih pantas.

Skuter Elektrik

Jangan terpedaya dengan rupa parasnya, kerana ianya sebuah skuter elektrik.

Pelana dan lantainya yang panjang bermakna ia boleh memuatkan dua orang. Ruang antara pelana dan pek bateri menawarkan ruang simpanan yang besar.

Pek baterinya tampak besar, memberikannya tempoh perjalanan yang lebih panjang antara pengecasan. Ia mampu memainkan peranan sebagai tunggangan harian dengan baik sekali.

Fork hadapannya adalah jenis terbalik namun kami agak ragu-ragu dengan bahagian ‘hardtail’nya. Bagaimana pun, ianya masih dalam peringkat prototaip.

Namun begitu, jika ianya dihasilkan dalam rupa yang sebegini, ia boleh dijadikan sebagai ‘pit scooter’. Penat berjalan sewaktu MotoGP? Nah, inilah jawapannya.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]