Lightning LS-218 – Motosikal Elektrik 200hp, 228Nm, 351km/j!

  • Motosikal elektrik Lightning LS-218 merupakan motosikal pengeluaran terpantas dunia.
  • Ia telah mencecah kelajuan 351km/j di Bonneville Speedweek pada tahun 2010.
  • Ia juga telah berjaya mencatat masa pusingan 20 saat lebih pantas di hadapan Ducati Multistrada 1200 di Pikes Peak International Hill Climb pada tahun 2013.

Jika masih ada orang yang bertanggapan bahawa motosikal elektrik ini perlahan, model Lightning LS-218 sudah pasti akan memperbetulkan tanggapan yang amat jauh meleset itu.

Ini adalah kerana motosikal elektrik LS-218 ini mampu mencecah jumlah nombor yang sebegini: 200hp, 228Nm, 351km/j.

Dan ianya bukanlah sekadar jumlah yang mengagumkan di atas kertas.

Pengeluar Lightning telah membawa prototaip motosikal ini ke Bonneville Speedweek pada tahun 2010. ia berjaya mengalahkan ke semua motosikal Bonneville buatan khas dengan mencatat kelajuan 218 batu sejam (351km/j) dan telah mencatat rekod baharu untuk motosikal pengeluaran, bagi kedua-dua janaan gasolin dan juga elektrik.

Dan dengan itu, motosikal ini telah dikenali sebagai LS-218.

Bagaimana pun, Bonneville lebih terjurus kepada kelajuan garis lurus. Pengeluar berkenaan juga ingin membina sebuah motosikal dengan pengendalian yang hebat.

Carlin Dunne yang mengemudi Lightning LS-218 di Pikes Peak International Hill Climb – Sumber imej: Asphalt & Rubber

Jadi, mereka telah menyertakan motosikal Lightning LS-218 dalam perlumbaan berprestij Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC). Motosikal tersebut memanjat naik bukit dengan 156 selekoh, 20 kilometer (12.42 batu) itu dalam masa 10 minit, 00.694 saat dan menghancurkan rekod lama. Pesaing kedua yang melintasi garisan penamat adalah Ducati Multistrada 1200 dengan catatan masa 10 minit, 21.323 saat. Ya, motosikal Lightning ini telah menamatkan perlumbaannya dengan jarak masa melebihi 20 saat di hadapan. Sebagai perbandingan, majoriti daripada motosikal elektrik mencatat masa dalam linkungan 12 minit. Model Lightning ini dinobatkan sebagai “King of the Hill” dalam kalangan motosikal gasolin dan juga elektrik.

Beberapa buah model LS-218 telah pun dihantar kepada pemiliknya sejak tahun 2014, di mana ianya dibina pada skala yang kecil. Namun begitu, pengeluar dari Amerika Syarikat tersebut telah pun melebarkan lagi jaringan pengedar mereka dan kini menghasilkan motosikal ini dalam skala yang besar.

Motosikal Lightning LS-218 ini dilengkapi dengan pelbagai komponen yang menakjubkan. Forknya dari RaceTech dengan bahagian dalaman Öhlin NIX30. Penyerap hentakan belakangnya pula merupakan Öhlins TTX36. Kedua-dua bahagian ini boleh dilaras sepenuhnya. Tugas pembrekan dikendalikan oleh sepasang angkup Brembo GP4-RX dan cakera brek 320mm Brembo T-Drive di bahagian hadapan.

Satu lagi kebimbangan utama mengenai motosikal elektrik adalah jarak perjalanan dan tempoh pengecasan. Lightning menawarkan tiga pilihan pek bateri. Pek 12kWh mempunyai jarak perjalanan antara 161 hingga 193km, pilihan 15kWh memberikan jarak antara 193 hingga 241km, dan pek 20kWh baharu menawarkan jarak sehingga 257 ke 290km, bagi setiap cas penuh.

Lightning mengatakan bahawa akan ada lebih banyak model yang akan diperkenalkan.

Begitulah tuan-tuan dan puan-puan. Bukan semua motosikal elektrik ini lembap.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.