Kelainan Upaya Penglihatan Bukan Penghalang Buat Azhar Ibrahim

Azhar Ibrahim – Sumber imej: www.erabaru.com.my
  • Azhar Ibrahim dilahirkan buta namun kelainan upayanya itu tidak menjadi penghalang untuk dirinya.
  • Dia mencari nafkah dengan membaiki motosikal dibengkelnya sendiri sejak sepuluh tahun yang lalu.
  • Minatnya mendengar deruman motosikal telah menjadi pendorongnya.

Ianya cukup mengagumkan untuk menyaksikan orang berusaha keras merempuh halangan dan kekangan dan berjaya. Cerita-cerita seperti ini perlu diambil sebagai iktibar dan pengajaran, mendorong kita untuk terus berusaha dan bukannya meratapi nasib kita, seperti kelainan upaya penglihatan tidak menghalang Azhar Ibrahim daripada menjadi seorang mekanik motosikal.

Azhar telah dilahirkan buta. Dia amat gemar mendengar bunyi deruman motosikal sejak dia berusia tujuh tahun lagi dan ini telah mendorongnya untuk memulakan perniagaannya sendiri. Kini berusia 36 tahun, dia telah mengendalikan bengkelnya sendiri sejak 10 tahun yang lalu. Dia memulakan kerja membaiki motoikal setelah belajar daripada kawannya pada tahun 2008.

Azhar mulai menyelenggara motosikal di hadapan rumahnya, namun, perniagaannya mulai pesat apabila rakan-rakan dan para pelanggannya mulai memuat naik ceritanya ke laman Facebook.

Dia telah menerima geran kewangan sebanyak RM11,000 di bawah Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kelainan Upaya (SBGP-OKU) pada tahun 2013 yang membolehkannya untuk mendapatkan lebih banyak peralatan dan membina bengkel yang lebih lengkap.

Ramai pelanggan yang tertanya-tanya bagaimana Azhar boleh melakukan tugasnya dengan kelainan upayanya itu, tetapi, baginya, “Apa yang boleh saya katakan adalah saya bersyukur dengan anugerah dari Allah ini. Ibu saya tidak membesarkan saya dengan cara yang berbeza daripada adik beradik yang lain dan saya tidak menggunakan tongkat.”

Bengkelnya itu terletak di hadapan rumah ibu bapanya, dan dia tinggal bersendirian dalam kedainya itu.

Azhar bekerja seorang diri tetapi mendapatkan bantuan kawannya untuk membeli peralatan atau alat ganti.

Satu nasihat yang dikongsikan encik Azzhar, “Bagi semua orang di luar sana, sama ada mereka mempunyai kelainan upaya atau pun tidak, teruskan berusaha dan jangan berputus asa. Kita perlu belajar untuk berdikari.”

Bengkel encik Azhar terletak di alamat Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, Perak.

Sumber: The Star Online