Pengarah Sukan Ferrari F1 Massimo Rivola Dilantik Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing Baharu

  • Aprilia Racing telah mendapatkan khidmat pengarah sukan Ferrari F1, Massimo Rivola, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
  • Pengurus yang sedia ada, Romano Albesiano, akan menumpukan perhatian ke arah aspek teknikal perlumbaan sebagai Pengarah Teknikal.
  • Rivola telah berada dalam F1 selama 21 tahun dan telah bekerjasama dengan Sebastian Vettel dan Fernando Alonso.

Aprilia Racing akan mendapat Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu dengan perpindahan pengarah sukan Ferrari F1, Massimo Rivola.

Pengurus Perlumbaan yang sedia ada, Romano Albesiano akan menumpukan perhatian ke aras aspek teknikal jentera perlumbaan RS-GP MotoGP. Dan dengan itu, jawatan rasminya akan bertukar kepada Pengarah Teknikal.

Bercakap dengan Crash.net, Albesiano berkata,”Secara peribadinya, saya ingin mempunyai lebih banyak peluang untuk menumpukan perhatian pada aspek teknikal perlumbaan,” ujar Albesiano di Valencia, ketika ditanya tentang sokongan pengurusan. “Dalam syarikat kami, saya memainkan kedua-dua peranan ini dan sudah pasti ianya sesuatu yang perlu kami perbaiki pada masa yang akan datang.”

Pelantikan Rivola ini menunjukkan komitmen Aprilia terhadap perlumbaan MotoGP.

Rivola telah berada dalam F1 selama 21 tahun. Dia memulakan kerjayanya bersama Minardi/Toro Rosso, di mana dia berkhidmat selama 12 tahun, sebelum menyertai Ferrari pada tahun 2009. Ini menjadikannya pengarah sukan paling lama berkhidmat dalam pasukan Itali berkenaan.

Dia juga turut mengetuai Ferrari Drive Academy sejak tiga tahun yang lalu.

Aprilia Racing telah menandatangani Andrea Iannone dan mengekalkan khidmat Aleix Espargaro, di samping Bradley Smith sebagai penunggang uji mereka bagi tahun 2019. Mereka juga telah mendapatkan khidmat dua orang ketua kru baharu, Antonio Jimenez dan Fabrizio Cecchini.

Pasukan yang beribu pejabat di Noale itu hampir-hampir sahaja berjaya mendapat tempat ke-empat dalam Kejuaraan Pasukan bagi tahun 2018 tetapi telah ditewaskan oleh KTM dalam pusingan terakhir.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]