Welly Sungai Buloh Dilantik Sebagai Wakil Pengedar Rasmi Dan Cawangan Perkhidmatan Selepas Jualan Bagi Moto Guzzi Serta Aprilia!

  • Welly World Cycle atau lebih dikenali sebagai Welly Sungai Buloh cukup dikenali ramai atas perkhidmatan jualan dan sokongan selepas jualan mereka bagi beberapa buah jenama motosikal.
  • Welly Sungai Buloh merupakan wakil pengedar rasmi untuk Ducati dan KTM Motorcycles, serta beberapa buah jenama yang lain.
  • Mengembangkan lagi portfolionya, Welly Sungai Buloh kini merupakan wakil pengedar rasmi untuk motosikal Moto Guzzi dan Aprilia di Malaysia.
  • Selain menyediakan motosikal Moto Guzzi dan Aprilia, Welly Sungai Buloh akan turut menyediakan perkhidmatan selepas jualan bagi kedua-dua jenama berkenaan.

Welly World Cycles adalah satu nama yang tidak asing lagi dalam penjualan motosikal baharu atau terpakai, mahu pun aksesori motosikal. Syarikat ini cukup sinonim sekali dengan motosikal, seperti mana teh tarik dengan Malaysia.

Welly telah pun menyediakan motosikal berjenama terkemuka bertahun lamanya, dan bukan sahaja menjual motosikal, tetapi, ia juga turut memiliki pengetahuan tentang penyelenggaraan motosikal melalui pasukan selepas jualannya yang cukup terlatih.

Sejak bertahun lamanya syarikat ini telah menyediakan motosikal dari jenama seperti Ducati, Yamaha dan juga KTM dengan jayanya. Syarikat ini kini telah mengembangkan lagi perniagaannya dan kini merupakan wakil pengedar rasmi untuk motosikal Moto Guzzi dan Aprilia di Malaysia.

Welly World Cycle, atau lebih dikenali sebagai Welly Sungai Buloh, telah dilantik sebagai wakil pengedar rasmi bagi motosikal Moto Guzzi dan Aprilia baru-baru ini, dan akan turut menyediakan perkhidmatan selepas jualan buat ke semua pemilik Aprilia dan Moto Guzzi di Malaysia.

Bercakap mengenai pelantikan Welly, Pengurus Besar Didi Resources Sdn. Bhd., Juan Chow Wee (atas, kiri), berkata, “Kami percaya bahawa mempunyai rakan kerjasama yang sesuai adalah amat penting di mana kami akan bekerjasama dalam membina dan membangunkan jenama tersebut serta gaya hidupnya. Welly World Cycle memiliki rekod kukuh yang terbukti dalam menyediakan pengalaman pemilikan motosikal terbaik kepada para pelanggannya dengan membina hubungan bersama pemiliknya secara langsung.”

Bagi pihak Welly World Cycle, Pengarah Urusan, Ngo Yoke Kwang (lebih dikenali sebagai Ah Kwang, atas), berkata, “Saya berasa amat berbesar hati mengalu-alukan kedua-dua jenama legenda ini dalam menyertai portfolio syarikat kami. Saya percaya seratus peratus dalam perkhidmatan selepas jualan yang kukuh, dan percaya bahawa sebelum menyediakan sebarang jenama motosikal, saya perlu memastikan yang sokongan selepas jualan yang sesuai telah tersedia. Bagi Aprilia dan Moto Guzzi, saya ingin menyediakan sokongan selepas jualan yang mantap bagi kedua-dua jenama ini, supaya pelanggan saya tahu yang mereka memiliki sokongan yang sepatutnya apabila mereka membeli sebuah motosikal Aprilia atau Moto Guzzi daripada kami.”

Motosikal Moto Guzzi adalah sebuah motosikal gaya hidup dengan kualiti binaan yang hebat, dan dengan sokongan selepas jualan yang betul, saya yakin yang para pelanggan saya akan memiliki pengalaman pemilikan yang memuaskan. Bagi Aprilia pula, ianya sebuah motosikal yang tidak asing lagi. Memiliki kuasa serta prestasi yang mengagumkan dan apa yang ia perlu untuk menjadi sebuah motosikal yang muktamad untuk dimiliki adalah jaringan selepas jualan yang baik, yang mana saya amat komited untuk membangunkannya buat para pemilik Aprilia yang membeli motosikal Aprilia di Welly World Cycle,” ujar Kwang, yang bergambar bersama anak lelakinya Kim Seng dan anak perempuannya Bee, yang juga merupakan Juara kejohanan MSF Superbike Championship.

Welly World Cycle kini telah mula menyediakan motosikal Moto Guzzi bermula dari harga RM56,800 bagi model V7 III Stone, dan RM65,700 bagi model V7 III Racer, dan harga-harga menggiurkan bagi model-model yang lain dalam rangkaian Moto Guzzi. Model tunggang uji bagi V7 III dan V9 turut disediakan.

Syarikat ini, yang dioperasi oleh seisi keluarga dan menawarkan pusat perkhidmatan selepas jualan yang komprehensif, turut menawarkan satu tunggangan hujung minggu bagi sesiapa yang membeli sebuah motosikal Moto Guzzi dari Welly World Cycle sebelum Tahun Baharu Cina 2019.

Welly Sungai Buloh ini berada di alamat No.2135, 2136 and 2137, Jalan 3/1, Batu 13 1/2, Bandar Baru Sungai Buloh, 4700 Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

Wrlly Sungai Buloh boleh dihubungi di talian 012-5191200, 012 686 1768, 012-634,7113, atau 012-7448391.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.