Daju Motors Sdn Bhd yang telah dilantik sebagai pengedar rasmi motosikal TVS di Malaysia secara rasminya telah melancarkan model ‘street’ atau ‘naked’ pertama di negara iaitu TVS Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0 2019! Jenama terkemuka dari India ini berhasrat untuk menembusi pasaran Malaysia dan model ini mempunyai potensi untuk berjaya.
Bagi mereka yang tidak kenali jenama TVS ini, mereka adalah pengeluar motosikal ketiga terbesar di India dan mempunyai banyak pengalaman dalam penghasilan jentera menarik termasuk kerjasama bersama BMW Motorrad dalam penghasilan BMW G 310 R dan model-model bawah 500cc lain.
Dari segi prestasi, model TVS Apache RTR 200 4V Race Edition telah disediakan dengan pakej enjin 198cc satu-silinder (bore 66mm x stroke 57.8mm) bersama empat injap dan sistem penyejukan minyak mampu menjana kuasa setinggi 20hp pada 9,000rpm dan 18.1Nm tork maksimum pada 7,000rpm.
Segala kuasa dihantar ke tayar belakang 17-inci (yang telah dipasangkan dengan Pirelli) melalui kotak transmisi 5-kelajuan yang mampu memecut dari 0-60km/j dalam masa 3.9 saat (0-100km/j dalam 12.1 saat) dan kelajuan maksimum sekitar 130km/j.
Apa yang lebih istimewa adalah TVS Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0V ini merupakan jentera pertama di dalam kategorinya yang telah dipasangkan oleh teknologi A-RT Slipper Clutch. Teknologi ini telah berjaya mengurangkan daya tekanan kepada sistem klac untuk memberi pertukaran gear yang lebih senang dan pantas. Ia juga mampu mengurangkan kesan ‘rear-wheel hop’ dengan menambahkan kestabilan sewaktu brek dan ‘downshift’ agresif di dalam litar.
Spesifikasi menarik yang lain adalah:
- Rangka casis ‘Double Cradle Split Synchro Stiff Chassis’
- Sistem monoshock KYB
- Ekzos lumba ‘double barrel’
- Grafik lumba RTR
- Lampu hadapan dengan sistem DRL (Daytime-running Lights)
- Speedometer digital
- Sistem brek cakera ‘Roto-petal’ (270mm depan, 240mm belakang)
- Dual-channel ABS
Daju Motors Sdn Bhd akan menawarkan model TVS Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0 pada harga RM10,950 (harga jualan tanpa insurans). Untuk maklumat lanjut, layari www.tvsmotor.com/tvs-global.
Selain dari model ini, mereka juga telah melancarkan model kapcai pertama mereka iaitu TVS Neo X3i iaitu sebuah kapcai ‘entry-level’ yang telah dipasangkan dengan enjin 110cc SOHC. TVS Neo X3i ini mampu menjana kuasa sebanyak 8.5hp pada 7,500rpm dan 8.5Nm tork maksimum pada 5,500rpm. Harga jualan? Dalam anggaran RM4,000.