Malam Penghargaan Chia Motor PJ Kawasaki

  • Malam Penghargaan Chia Motor PJ Kawasaki diadakan bagi memberi penghormatan kepada mereka yang berjasa dalam membawa kejayaan buat pasukan berkenaan.
  • Pasukan tersebut berjaya merangkul kejohanan Pirelli Malaysia Superbike Championship 2018 bersama penunggang mereka, Azlan Shah Kamaruzaman.
  • Mereka turut memenangi kategori Kejohanan Pasukan.

Chia Motor PJ telah mengadakan satu acara istimewa yang diberi nama Malam Penghargaan Chia Motor PJ Kawasaki.

Acara ini diadakan bagi meraikan kejayaan penunggang mereka, Azlan Shah Kamaruzaman dalam menggondoli kategori Superbike premier dalam kejohanan Pirelli Malaysia Superbike Championship 2018. Pasukan Chia Motor PJ Kawasaki juga turut merangkul takhta Kejohanan Pasukan.

Acara bermula dengan pemilik Chia Motor PJ, Encik Keih Chia, mengucapkan terima kasih kepada para penaja dan penyumbang pasukan berkenaan. Ianya dimulakan dengan Dato’ Jeffrey Lim, Pengurus Besar dan Pengarah Kawasaki Motor (Malaysia) Sdn. Bhd. Keith menyatakan bahawa Kawasaki Malaysia memainkan peranan yang penting dalam kejayaan pasukan berkenaan sepanjang tahun. Motosikal Kawasaki Ninja ZX-10R adalah jentera pilihan Azlan Shah bagi mengatasi ke semua pencabarnya.

Seterusnya adalah Kratos Motorsports Sdn. Bhd., pengedar rasmi sistem suspensi K-Tech di Malaysia. Kratos telah bekerjasama dengan Chia Motor PJ dalam membekalkan suspensi K-Tech buat pemilik motosikal yang inginkan teknologi suspensi dan pengendalian terbaik untuk motosikal mereka. Komponen suspensi K-Tech turut dilengkapkan pada jentera perlumbaan Azlan Shah.

Satu anugerah penghargaan juga turut dihadiahkan kepada Bikes Republic dan Moto Malaya atas liputan kami mengenai perjalanan pasukan ini sepanjang musim kejohanan Pirelli Malaysia Superbike Championship 2018. Ianya satu penghargaan bagi kami kerana dapat melihat sendiri tahap profesionalisma pasukan berkenaan dalam menjalankan tugas mereka. Menerima anugerah tersebut dari Keith Chia adalah Editor Urusan, Keshy Dhillon.

Berikutnya adalah encik Edmund Lim, Pengarah Octo Galaxy Sdn. Bhd., pengedar rasmi Eurol Lubricant. Eurol telah menaja minyak pelincir yang digunakan pada jentera Kawasaki Ninja ZX-10R milik pasukan berkenaan.

Akhir sekali, satu anugerah penghargaan istimewa telah dihadiahkan kepada Azlan Shah Kamaruzaman. Keith berasa amat berbangga dengan catatan masa penunggang MSBK berkenaan sewaktu dia melayakkan diri di Petak Pertama bagi dua pusingan yang terakhir. Catatan masa 2:07.708s hanyalah 2 saat di belakang catatan masa yang dilakukan oleh penunggang WorldSBK sewaktu pusingan World Superbike Championship di SIC.

Keith turut meluahkan rasa bangganya sebagai anak Malaysia kerana mempunyai sebuah pasukan yang meliputi pelbagai kaum dan agama bekerjasama dalam usaha untuk mengecapi pencapaian tertinggi.

Sejumlah pemilik Kawasaki turut menghadiri acara sebelah malam ini, walaupun dengan hujan yang lebat.

Acara pada malam tersebut diteruskan dengan majlis makan malam, persembahan kugiran, dan cabutan bertuah.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.