Jentera Perlumbaan KTM RC16 MotoGP Untuk Dijual!

  • KTM akan menjual jentera perlumbaan RC16 MotoGP mereka yang terdahulu.
  • Pemilik baharu jentera berkenaan akan turut menerima pelbagai hadiah menarik.
  • Hanya dua buah jentera yang akan dijual pada harga €250,000 setiap satu.

Perhatian buat semua peminat KTM dan juga MotoGP! Impian anda untuk memiliki sebuah jentera perlumbaan MotoGP sudah hampir termakbul. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah membelanjakan keseluruhan simpanan anda bagi memiliki motosikal perlumbaan KTM RC16 MotoGP ini!

Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Stefan Pierer, pernah mengumumkan sebelum ini bahawa motosikal yang sah untuk kegunaan jalan raya berdasarkan jentera lumba RC16 MotoGP akan disediakan suatu hari nanti. Pengeluar dari Austria itu masih belum mengotakan janji tersebut buat masa ini, barang kali sedang menunggu untuk melihat tahap keberkesanan jentera tersebut dalam siri perlumbaan kejohanan berkenaan.

TETAPI, anda kini boleh memiliki sebuah jentera perlumbaan KTM RC16 MotoGP. Pengeluar berkenaan akan menjual dua buah jentera RC16 mereka yang terdahulu buat pembeli persendirian.

KTM juga akan turut menyertakan pelbagai hadiah yang amat menawan dalam jualan ini. Antaranya adalah kelengkapan penunggangan lengkap milik Pol Espargaro (sut lumba, sarung tangan, but, dan lain-lain), beserta dengan sebuah helmet AGV yang ditandatangani.

Selain itu, pemilik juga boleh memilih sama ada untuk menjadi sebahagian daripada warga pasukan pengilang Red Bull KTM MotoGP untuk satu hujung minggu pilihan mereka. Tawaran ini termasuklah lawatan paddock, kota pit, sesi beramah mesra dengan para penunggang pasukan pengilang KTM, Johann Zarco dan Pol Espargaro, dan juga satu set pakaian pasukan Red Bull KTM.

Ianya masih satu tawaran yang cukup menggiurkan memandangkan satu pas hujung minggu istimewa seperti ini boleh menelan belanja sehingga $10,000 (RM41,865.00), tidak termasuk jentera RC16.

Anda berminat? Sila sediakan sejumlah €250,000 (RM1,190,273.23) Oh ya, ianya juga bukanlah motosikal yang sah untuk digunakan atas jalan raya awam.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]