Perodua X-Concept – Masa hadapan Perodua cerah!

Perodua memberi peluang kepada para pengunjung Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) untuk melihat keupayaan masa hadapannya,terutama sekali dari segi konsep reka bentuk. Model yang paling penting anda perlu lihat adalah Perodua X-Concept iaitu sebuah model yang mempamerkan masa hadapan Perodua yang cerah dan juga futuristik.

“Sudut pameran KLIMS18 Perodua menawarkan satu kilasan kepada arah yang mungkin kami jejak untuk memenuhi jangkaan para pelanggan kami yang sentiasa berkembang,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

“Bertemakan Illumination (pencahayaan), sudut pameran Perodua menggambarkan visi dan cita-cita kami untuk terus mencetuskan idea-idea yang sejajar dengan keperluan dan kehendak pelanggan masa hadapan kami,” katanya.

“Turut diperkenalkan hari ini di Perodua Illumination adalah X-Concept, sebuah kenderaan konsep berteknologi tinggi yang menuju ke arah aspirasi dan gaya hidup masa hadapan. Para pengunjung dialu-alukan untuk berhubung dengan pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Perodua dengan memberi maklum balas dan pandangan mereka terhadap X-Concept,” tambah Datuk (Dr) Aminar.

Mengambil bentuk dinamik ‘hatchback’, ciri-ciri menarik Perodua X-Concept termasuk gril hadapan dan logo Perodua yang diterangi LED, lampu hadapan LED berbentuk Y, lampu isyarat membelok yang berurutan dan pintu jenis ‘sway’ yang mendedahkan ketiadaan pilar B apabila dibuka.

Pada bahagian dalaman, X-Concept mempunyai susun atur papan pemuka futuristik yang mengelilingi panel instrumen TFT, skrin sesentuh tengah 12.9 inci dan stereng futuristik ‘flat-bottom’.

“Seiring dengan tema Beyond Mobility KLIMS18, Perodua X-Concept adalah lebih daripada sekadar kenderaan. Ia merupakan manifestasi visi Perodua masa hadapandi mana kenderaan menjadi kenyataan gaya hidup dan dipenuhi dengan teknologi tersambung (connected technology). Kami juga memberi peluang kepada para pengunjung untuk ‘memandu’ dan mengalami sendiri X-Concept, melalui dunia realiti maya (VR),” kata Datuk (Dr) Aminar.

“Kunjungilah sudut pameran kami kerana kami akan menjalankan banyak aktiviti di sepanjang kelangsungan KLIMS18. Antaranya permainan interaktif, peraduan digital, hadiah-hadiah dan persembahan yang menarik supaya kami dapat lebih dekat dengan para pelanggan semasa serta masa hadapan kami,” kata Datuk (Dr) Aminar.

KLIMS18 dibuka kepada orang ramai mulai esok hingga 2 Disember di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC). Perodua Illumination terletak di Aras 1.