Perodua Myvi GT – Konsep ‘garang’ luar biasa!

Dari 23 November hingga 2 DIsember 2018, Kuala Lumpur International Motor Show 2018 atau KLIMS 2018 akan berlangsung di MITEC KL (Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia) di mana terdapat beberapa kereta konsep menarik dapat dilihat. Antara yang paling menarik merupakan Perodua Myvi GT yang telah diubahsuai sebagai sebuah model yang ‘sporty’ dan juga garang.

Konsep ini telah direka khas sebagai sebuah kenderaan pameran khusus untuk KLIMS 2018 yang akan berlangsung selama 10 hari dan pihak Perodua ingin mempamerkan betapa ‘serba boleh’-nya model Perodua Myvi mereka. Berasaskan varian 1.5 Advance, terdapat beberapa aspek yang telah dipertingkatkan lagi untuk memberi rupa dan gaya baharu kepada Perodua Myvi GT ini.

Dari segi luaran, Myvi GT telah dipasangkan dengan beberapa tambahan seperti bampar hadapan dan juga ‘skirt’ bahagian tepi yang agresif bersama set lampu LED dan ‘splitter’ udara luas, rim ‘sporty’ 17-inci bersama tayar Bridgestone Potenza, sistem brek dari Brembo, bampar belakang bersama sistem dwi ekzos dan banyak lagi.

Ruang dalaman Perodua Myvi GT juga mengalami perubahan yang lebih menarik dimana dua kerusi jenis ‘bucket’ dibalut dengan kulit jenis Alcantara telah dipasangkan bersama stereng bentuk D dan juga kemasan warna merah yang memberi sebuah imej yang moden, garang dan menarik kepada konsep khas dari Perodua.

Perodua juga akan mempamerkan dua buah kenderaan konsep mereka sewaktu KLIMS 2018 iaitu model sedan X Concept dan juga ‘sneak peak’ kepada konsep model SUV yang boleh ‘diintai’ di bahagian pameran mereka. Untuk maklumat lanjut, layari www.perodua.com.my.