Triumph Motorcycles Buat Kemunculan Semula Di Baja 1000 Dengan Triumph Scrambler 1200 2019

  • Triumph telah kembali ke asal usul perlumbaan padang pasirnya di Baja 1000.
  • Mereka akan mempertaruhkan jentera Triumph Scrambler 1200 XE 2019.
  • Motosikal ini akan dilengkapi dengan kelengkapan standard secara amnya kecuali untuk beberapa buah kelengkapan perlumbaan padang pasir.

Triumph Motorcycles amat meyakini kebolehan off-road model Triumph Scrambler 1200 2019 yang baharu mereka lancarkan. Perlumbaan di atas litar tanah merah sementara dalam bangunan sewaktu pelancarannya itu sudah cukup gempak sekali, tetapi, pengeluar dari Britain itu ingin membuktikan lagi kebolehannya dengan mempertaruhkan motosikal itu dalam perlumbaan rali yang bersejarah dan cukup mencabar, Baja 1000.

Seperti mana yang telah kami terangkan dalam liputan kami mengenai pelancaran model ini, pelakon aksi terkemuka, Steve McQueen, beserta dengan pelagak ngerinya, Bud Ekins, sering kali telah menyertai perlumbaan rali ini pada masa yang lalu, mengemudi jentera Triumph. Dan dengan itu, kemunculan semula jentera Scrambler 1200 2019 di perlumbaan rali ini sudah pasti perkara paling tepat sekali memandangkan ianya pewaris sejati model motosikal lumba padang pasir TR6 Trophy Baja (disebut sebagai ‘Ba-ha’).

Ulasan Tanggapan Pertama Triumph Scrambler 1200 2019

Motosikal Baja Scrambler 1200 XE akan dikekalkan dalam bentuk standard secara amnya. Kelengkapan yang ditambah padanya hanyalah palang pelindung enjin, pelindung takungan enjin tambahan, sistem ekzos perlumbaan, dan lampu spesifikasi perlumbaan. Mereka juga akan menanggalkan tempat letak kaki pembonceng dan lampu isyarat.

Prototaip motosikal lumba itu telah diperagakan sewaktu majlis pelancarannya. Ia akan dikemudi oleh pelagak ngeri dan penunggang rasmi Triumph, Ernie Virgil.

“Saya berasa amat teruja kerana diberi peluang untuk menyertai Baja 1000, dan juga menjadi pelumba pertama mengemudi motosikal Scrambler generasi seterusnya Triumph kembali dalam perlumbaan padang pasir, tempat di mana kami bermula,” ujar Ernie

Penunggang ini telah menyertai perlumbaan ini di atas motosikal Triumph Tiger 800 sebelum ini.

Di mana perlumbaan rali Baja 1000 ini tidaklah sesukar dan sepanjang perlumbaan rali Dakar, ia masih satu perlumbaan yang cukup mencabar. Ia terdiri daripada dua acara, yang pertama dari mula ke akhir, yang mana selalunya melebihi 1000 batu (1,600km) panjangnya. Acara yang keduanya adalah perlumbaan litar yang selalunya berjarak antara 600 hingga 800 batu (960km-1,280km).

Perlumbaan rali Baja 1000 juga merupakan sebahagian daripada acara Kejohanan Dunia untuk perlumbaan padang pasir. Diadakan di Semenanjung California-Mexico, ia mendapat sambutan para peserta dari seluruh dunia yang datang bertanding dengan motosikal, kereta, trak, ATV, dan bugi.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.