MotoGP 2018: Alvaro Bautista Akan Menggantikan Jorge Lorenzo Di Phillip Island

  • Pusingan MotoGP yang seterusnya di Phillip Island akan menyaksikan Alvaro Bautista menggantikan tempat Jorge Lorenzo yang telah tercedera.
  • Dengan Lorenzo kini sedang dalam proses pemulihan, Bautista telah dipanggil bagi mengemudi jentera Ducati Desmosedici GP18 di Australia pada hujung minggu ini.
  • Ini akan menjadi perlumbaan terakhir Bautista dalam MotoGP sebelum menyertai pasukan pengilang Ducati dalam siri perlumbaan WorldSBK pada tahun 2019.

MotoGP musim 2018 baharu sahaja memulakan tiga perlumbaan ‘flyaway’nya apabila Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda berjaya merangkul kejohanan dunia kali ketujuhnya di Motegi, Jepun, pada hujung minggu lalu. Dan di mana setiap pasukan mulai bertungkus lumus untuk menyiapkan diri bagi menghadapi pusingan MotoGP Australia yang akan berlangsung pada hujung minggu ini d Phillip Island, Ducati telah mengumumkan bahawa Alvaro Bautista akan menggantikan tempat Jorge Lorenzo yang tercedera pada perlumbaan yang berikutnya.

Setelah satu kemalangan ‘highside’ yang telah menimpa Lorenzo sewaktu salah satu sesi Latihan Bebas di pusingan MotoGP Thailand pada awal bulan ini, penunggang kelahiran Sepanyol berusia 31 tahun itu menyangkakan bahawa dia sudah cukup cergas untuk berlumba di Jepun pada hujung minggu yang lalu. Mengalami keretakan pergelangan tangan, kecederaan itu jauh lebih buruk dari apa yang disangkakan, dan kesakitannya tidak dapat ditanggung Lorenzo sewaktu dia mengemudi jenteranya pada sesi litar pertama di Motegi.

Menurut Lorenzo, “Risiko terkehelnya tulang yang patah itu adalah sebahagian daripada masalahnya. Ia terasa amat teruk sekali sewaktu pembrekan kerana badan dan minda saya tidak membenarkan saya untuk mengenakan tekanan besar pada pergelangan tangan sewaktu memasuki selekoh dan ia juga menyebabkan saya rasa tidak selamat di atas motosikal. Malang sekali kerana saya rasa seperti saya mempunyai peluang yang baik untuk memenangi perlumbaan di sini.”

Lorenzo dikatakan telah pulang semula ke Eropah bagi memulihkan diri sebelum berlangsungnya pusingan Shell Malaysia Motorcyle Grand Prix yang akan mengambil tempat dari 2 hingga 4 November 2018 (iaitu dalam masa sepuluh hari lagi). Pasukan pengilang Ducati telah mengumumkan Alvaro Bautista dari pasukan Angel Nieto sebagai penggantinya bagi pusingan yang berikutnya di Phillip Island, Australia.

Alvaro Bautista bertekad untuk mempamerkan aksi yang akan mengagumkan ketua-ketua di Ducati, mengemudi jentera Ducati Desmosedici GP18 yang terkini, di mana musim 2018 ini adalah musim terakhirnya di MotoGP sebelum beralih ke siri perlumbaan WorldSBK pada musim yang akan datang. Bautista bakal menjadi antara penunggang yang pertama akan mengemudi jentera Ducati Panigale V4 serba baharu dalam pertandingan, bersama dengan penunggang utama Ducati dalam WorldSBK, Chaz Davies.

Sumber imej: MotoGP

Honda Teruja Untuk Pelajari Tentang Ducati Dari Jorge Lorenzo