WorldSBK: Alvaro Bautista Sertai Pasukan Pengilang Ducati Bagi Musim 2019

  • Alvaro Bautista mengesahkan perpindahannya ke siri perlumbaan WorldSBK untuk musim 2019 setelah menandatangani perjanjian dengan pasukan Aruba.it Racing – Ducati.
  • Penunggang MotoGP bagi pasukan Angel Nieto itu akan bersaing seiring dengan teman sepasukan baharunya, Chaz Davies.
  • Kedua-dua penunggang bagi pasukan pengilang Ducati tersebut juga bakal menggunakan jentera Ducati Panigale V4 R 1,000cc baharu dengan harapan dapat memenangi kejuaraan pada musim yang akan datang.

Pasukan Aruba.it Racing – Ducati WorldSBK nampaknya telah bersedia bagi musim 2019! Setelah mengumumkan yang mereka telah menandatangani perjanjian dengan penunggang MotoGP bagi pasukan Angel Nieto, Alvaro Bautista, pasukan pengilang Ducati bagi siri perlumbaan juga telah mengesahkan mereka melanjutkan kontrak mereka bersama Chaz Davies.

Sumber imej: WorldSBK

Apa yang lebih mengujakan adalah kedua-dua penunggang ini akan mengemudi jentera Ducati Panigale V4 R serba baharu yang akan menggunakan enjin 1,000cc. Walaupun jentera perlumbaan ini belum lagi diperkenalkan secara rasmi, kami mengandaikan yang ianya bakal membuat kemunculan sulung rasminya pada hujung tahun ini sewaktu EICMA 2019 (barang kali bersama dengan Davies dan Bautista).

Bersama dengan pasukan dan jentera yang baharu, pasukan Aruba.it – Ducati mengharapkan yang ianya akan memberikan saingan sengit buat pengeluar lain dalam WorldSBK, terutamanya Kawasaki dan Yamaha. Mereka menghadapi satu musim yang sukar setakat ini dan mereka berharap dapat mengubah nasib mereka bagi musim 2019.

Menurut Bautista, “Bagi saya musim hadapan akan menjadi satu cabaran baharu kerana saya akan berpindah dari sini selepas 16 tahun dan akan menyertai World Superbike bersama pasukan rasmi Aruba Ducati. Saya berasa amat bermotivasi, ianya satu cabaran untuk saya. Saya rasa keyakinan yang diterapkan dalam diri saya oleh Ducati meletakkan saya di tempat yang baik dan bersama-sama, kami amat kuat sekali. Saya rasa kami mampu mendapatkan keputusan yang baik di sini dan menikmatinya, ianya Kejohanan yang berkembang pesat, jadi saya berharap cabaran baharu ini dan saya akan cuba berseronok dengan perlumbaan-perlumbaan akhir saya di Kejohanan MotoGP ini.”

Bersiap sedialah, tuan-tuan dan puan-puan. Musim WorldSBK 2019 bakal menjadi lebih menarik lagi, terutamanya dengan para pengeluar bertungkus lumus cuba memperkenalkan jentera superbike terkini mereka ke grid. Dapatkah Kawasaki meneruskan dominasinya, atau akan muncul Raja Superbike yang baharu?

Sumber imej: MotoGP

Ducati Hypermotard Baharu Bagi Tahun 2019?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.