MV Agusta F4 Claudio 2019 Diperkenalkan! RM345,280

  • Edisi terakhir bagi motosikal superbike F4 telah pun dikeluarkan dalam bentuk model MV Agusta F4 Claudio 2019.
  • Dilengkapi dengan bahagian buatan karbon fiber dengan kemasan berwarna emas, model F4 Claudio mampu menghasilkan 212hp dan 115Nm tork.
  • Hanya 100 unit akan dijual dengan tanda harga $83,000 (RM345,280) untuk pasaran Amerika Syarikat.

Seperti mana yang telah diketahui oleh para penggemarnya, model utama bagi jenama MV Agusta telah sampai ke penghujung jalannya, dan pengeluar motosikal premium dari Itali itu akan meraikannya dengan meriah, dengan model F4 yang terakhir ini. Motosikal MV Agusta F4 Claudio 2019 ini dihasilkan sebagai penghormatan kepada susur galurnya yang menakjubkan serta pada penciptanya, Claudio Castiglioni.

Jentera menawan dan amat terhad ini akan dihasilkan sebanyak 100 unit sahaja bagi pasaran seluruh dunia dan bagi mereka yang berminat untuk memiliki model MV Agusta F4 Claudio 2019 ini perlu bersiap sedia untuk mendapatkannya dengan pantas dan juga membelanjakan jumlah wang yang besar memandangkan harganya telah ditetapkan pada $83,000 (RM345,280) untuk pasaran Amerika Syarikat.

Melambangkan gabungan muktamad antara prestasi sejati dengan karya seni bergerak, model MV Agusta F4 Claudio ini dilengkapi dengan teknologi terkini dan daya kuasa dari syarikat Varesini ini. Dilengkapkan dengan enjin yang sama yang boleh didapati pada model F4 RC, model edisi khas ini mampu menghasilkan sehingga 212hp dan 115Nm tork daripada enjin empat selari 998cc-nya.

Ianya menghasilkan 212hp dan RPM maksimum sehingga 14,200rpm, yang memacu motosikal MV Agusta F4 Claudio 2019 ke tahap kelajuan tertinggi sehingga 302km/j! MV Agusta mampu mencapai tahap ini dengan adanya sistem penuh ekzos perlumbaan berganda yang amat menggiurkan, yang telah dihasilkan oleh pakar ekzos, SC-Project.

Sebagai sebahagian daripada ucap selamat tinggal buat model ini, jabatan Reparto Corse MV Agusta memutuskan untuk mempertingkatkan lagi motosikal dengan memperkenalkan port ekzos dan lohong masukan utama yang baharu pada enjin yang sudah cukup berkuasa ini. Dengan ini, ianya telah mempertingkatkan dinamik keseluruhan bendalir motosikal, mengurangkan geseran, dan menghasilkan lebih bayak kuasa dengan penambahan ‘cam’ saduran DLC (Diamond Like Coating) beserta ‘shift fork’.

Cukup di sini untuk bahagian dalamannya, mari kita bincangkan bahagian luarannya pula. Dilitupi dengan panel badan karbon fiber yang menggiurkan, kemasan berwarna hitam dan emasnya itu amat secocok sekali dengan roda karbon fiber sepenuh beserta pakej suspensi berwarna keemasan yang didatangkan oleh sifu penyerap hentakan, Öhlins.

Dan dengan keseluruhan kit perlumbaan yang disertakan, motosikal MV Agusta F4 Claudio 2019 hanyalah seberat 175kg (bersih) dan ini membayangkan yang ianya mempunyai daya pemecutan yang besar, pengendalian yang hebat, beserta nisbah kuasa-ke-berat yang amat mengagumkan. Untuk daya hentinya, MV Agusta melengkapkan motosikal ini dengan kelengkapan terkini dari Brembo, cakera brek berganda 320mm dengan angkup jejari monobloc empat omboh Stilema.

Spesifikasi yang lain termasuklah:

  • Sistem kawalan cengkaman bantuan IMU dengan lapan tahap.
  • Sistem pencucuhan-suntikan Berintegrasi MVICS.
  • MV EAS 2.0 (pertukaran ke gear lebih tinggi dan rendah bantuan secara elektronik).
  • ABS dwi saluran Bosch 9 PLUS dengan mod perlumbaan.
  • “Rear Wheel Lift-up Mitigation”.
  • Pendikit “Ride-by-Wire”.
  • Berbilang bahagian buatan titanium.

Persoalannya kini, dengan MV Agusta mengucapkan selamat tinggal kepada rangkaian F4, akan munculkah sebuah motosikal superbike yang baharu dalam masa yang terdekat? Barang kali kita terpaksa menunggu sedikit untuk mendapatkan jawapan tersebut, mungkin pada tahun 2020 nanti? Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini segenap dunia permotoran.

MV Agusta Persembahkan Dragster 800 RR Pirelli

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.