- Yamaha telah memperkenalkan model Yamaha YZF-R3 2019.
- Dengan ini sudah pasti akan ada berita mengenai model YZF-R25 2019 untuk pasaran Malaysia dalam masa yang terdekat.
- Penggayaan motosikal baharu ini diilhamkan dari model YZF-R1.
Motosikal Yamaha YZF-R3 2019 telah pun diperkenalkan dan tampaknya ‘perang’ dalam segmen ini akan menjadi lebih hangat lagi.
Bagaimana pun, sebelum kami teruskan dengan lebih lanjut, kami menerima khabar yang telah berlangsungnya pelancaran bagi model Yamaha YZF-R25 2019 di negara Indonesia. Tetapi ianya bukan satu hal besar, kerana model R3 dan R25 akan berkongsi reka bentuk asas yang sama, jika tidak pada omponennya.
Tampak dengan jelas sekali yang model YZF-R3/R25 ini amat mirip sekali dengan jentera saudara ‘open-class’-nya, YZF-R1, kecuali pada dwi-lampu hadapan LEDnya. ‘Lohong udara’ tengahnya pula hanyalah sekadar perhiasan. Bagaimana pun, penghadang anginnya kini lebih tinggi dan besar.
Dari sisi, profil motosikal ini tampak lebih agresif dan kelihatan seperti motosikal superbike berkapasiti besar yang sebenar. Bahagian ekornya berakhir dengan bucu tajam dan pasti tampak lebih menawan dengan ‘tail tidy kit’.
Forknya kini dari jenis fork terbalik untuk gaya dan pengendalian yang lebih mengancam. Tiada sebarang berita jika bahagian-bahagian yang lain pada casisnya telah dikemaskini.
Di bahagian atasnya, motosikal YZF-R3/R25 akan dilengkapi dengan paparan berwarna TFT. Data yang dipaparkan termasuklah kedudukan gear. Palang pemegangnya masih lagi dari jenis ‘clip-on’.
Tiada sebarang khabar lagi bila kita akan menemui motosikal ini di Malaysia. Selain itu, ianya sudah pasti merupakan versi 250cc berbanding versi 321cc. Enjin 321cc mampu menghasilkan 41hp dan 29.6Nm tork. Tentu menarik sekali menyaksikan ‘pertarungan’ antara motosikal YZF-R25 2019 dengan model Kawasaki Ninja 250 yang mampu menghasilkan sehingga 38hp.